KUALA LUMPUR – Sebanyak empat judul buku eksklusif yang memaparkan keindahan, budaya dan khazanah alam Negeri Pahang secara komprehensif dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelancaran koleksi istimewa itu bukan sahaja memperlihatkan kekayaan warisan negeri bahkan menjadi cerminan komitmen pelbagai agensi negeri dalam memartabatkan Pahang sebagai negeri yang menjulang budaya ilmu.
Empat judul yang dilancarkan ialah Pahang – Faces of The Forests, Orang Asal – Dances Among the Trees, The Colours of Arboretum Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan Sketch Kuala Lipis: Bandar Warisan.
“Setiap judul mencerminkan sisi unik negeri ini yang diterjemahkan melalui hasil kreativiti tiga jabatan berbeza, dari dokumentasi hutan simpan hingga warisan Orang Asli dan sejarah Kuala Lipis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang di sini, hari ini.
Menurut beliau, buku Pahang – Faces of The Forests dan The Colours of Arboretum Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah diterbitkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengetengahkan Orang Asal – Dances Among the Trees yang turut menampilkan hasil komuniti Orang Asli di ruang pameran Bilik Pristine Pahang.
Sementara itu, Sketch Kuala Lipis: Bandar Warisan yang diterbitkan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) menjadi tumpuan istimewa buat Wan Rosdy kerana merakam warisan visual ibu negeri pertama Pahang itu secara kreatif dan penuh nilai estetika.
“Sebagai anak kelahiran Lipis, saya amat berbangga dengan dokumentasi visual yang dihasilkan. Ia bukan sahaja menggamit nostalgia, tetapi menyumbang kepada usaha mendidik generasi akan kepentingan sejarah tempatan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Medal Lions Creative, rakan strategik Negeri Pahang dalam menjayakan pameran eksklusif tersebut bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), serta semua jabatan dan agensi yang berganding bahu menjayakan pameran Pahang di PBAKL buat julung kalinya.
Wan Rosdy turut mengumumkan Pesta Buku Pahang 2025 akan berlangsung dari 25 Oktober hingga 2 November depan di Pahang.
“Saya menjemput orang ramai untuk turut serta memeriahkan acara yang memupuk budaya membaca itu,” jelasnya- KOSMO! ONLINE