PERTEMUAN bersama ahli kelab konvoi merupakan aktiviti tahunan yang sering dilakukan terutamanya pada musim perayaan.
Aktiviti itu biasanya diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli dari seluruh negara, sekali gus meraikan kebersamaan mereka.
Turut menganjurkan aktiviti konvoi dan jamuan raya baru-baru ini adalah kelab kereta MyEstima menerusi acara Jamuan Raya MyEstima 2025 di Dewan Masjid Putra, Putrajaya.
Menurut Penyelaras Jamuan Raya MyEstima, Mohd. Said Jaapar, acara tersebut dianjurkan untuk mengumpulkan semua ahli dari pelbagai wilayah selepas kali terakhir program seumpama itu diadakan pada 2022.
“Kita dapat penyertaan daripada ahli-ahli dari seluruh wilayah. Pada masa sama, program ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Masjid Putra.
“Program ini merekodkan kehadiran hampir 300 ahli dengan penglibatan 70 jentera yang berkonvoi dari Masjid Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bandar Sungai Merab, Selangor menuju ke Masjid Putra sebelum berlangsungnya jamuan raya,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, acara Jamuan Raya MyEstima 2025 berlangsung dengan meriah dalam semangat kekeluargaan.
“Kami berjaya mengumpulkan komuniti pemilik Toyota Estima dalam satu majlis yang santai, penuh makna dan mesra keluarga,” ujarnya.

Berkongsi tentang perjalanan program, Mohd. Said memberitahu, seawal pukul 10.15 pagi, para peserta mula berkumpul di Masjid Uniten untuk sesi RV (rendezvous), sebelum bergerak secara konvoi dalam beberapa kumpulan kecil sekitar pukul 11 pagi.
Kehadiran ratusan ahli yang bersemangat bersama keluarga masing-masing menambahkan lagi seri acara tersebut.
“Tepat pukul 11.30 pagi, semua peserta tiba di lokasi utama dan terus masuk ke dewan yang telah dihias cantik dengan tema hari raya.
“Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat pada pukul 11.45 pagi bagi memohon keberkatan dan keselamatan sepanjang perjumpaan berlangsung,” ujarnya.
Katanya lagi, jamuan raya bermula pada pukul 12 tengah hari dengan pelbagai juadah tradisional disediakan daripada lemang dan rendang sehingga kuih-muih yang menggamit memori Aidilfitri.
Suasana dewan dipenuhi gelak tawa, perbualan mesra dan tangisan manja anak kecil.

Sesi jamuan dihentikan seketika pada pukul 1.15 petang bagi memberi laluan kepada solat zuhur secara berjemaah.
Selesai solat, acara diteruskan dengan aktiviti dan permainan kanak-kanak bermula pada pukul 2 petang.
Kemuncak acara menyusul pada pada pukul 3.30 petang dengan sesi penyampaian hadiah dan penghargaan, termasuk anugerah khas kepada ahli yang aktif.
“Majlis kemudian memasuki fasa penutup sekitar 4 petang, iaitu semua ahli bergotong-royong mengemas dan membersihkan dewan.
“Sebelum bersurai, jemaah menunaikan solat asar secara berjemaah.
“Tepat pukul 5 petang, para peserta bersurai dan masing-masing membawa balik kenangan manis, semangat ukhuwah lebih erat dan harapan untuk bertemu lagi pada pertemuan akan datang,” kongsinya.














