fbpx

Kelab motor sumbang RM27,000 kepada waris sembilan anggota FRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD ARASHID (dua dari kiri) dalam majlis sumbangan cek cura kepada Pemangku Pegawai Pemerintah FRU Unit 5 Sungai Senam, Deputi Superintendan Mohd. Amin Mat Yassin di FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh hari ini.

IPOH – Kelab motosikal berkuasa tinggi, Sukan Permotoran Pelancongan Pengembaraan (ATMS) dan lima kelab seumpamanya menyumbang RM27,000 kepada waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas jalan raya di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.

Menurut Presiden ATMS, Muhammad Arashid Ramli, sumbangan itu sebagai tanda solidariti selain mengenang pengorbanan dan jasa sembilan wira negara yang terkorban dalam tragedi tersebut.

“Sumbangan yang terkumpul hasil kutipan selama dua minggu ialah RM27,000 daripada ahli dan lima kelab motosikal lain khususnya di Perak.

“Kutipan ini dibahagikan kepada setiap waris sembilan anggota FRU tersebut (RM3,000 bagi setiap keluarga),” katanya kepada pemberita di FRU Unit 5 Sungai Senam di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan cek cura kepada Pemangku Pegawai Pemerintah FRU Unit 5 Sungai Senam, Deputi Superintendan Mohd. Amin Mat Yassin pada majlis ringkas yang turut dihadiri kira-kira 200 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Waris kepada sembilan anggota tersebut tidak hadir kerana mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan.

Muhammad Arashid berkata, ATMS sentiasa aktif membantu mangsa bencana atau musibah tidak mengira di seluruh negara ini termasuk di Indonesia dan Thailand.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.

Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI