PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tampil menjelaskan Datin Seri Pamela Ling Yueh bukan suspek, sebaliknya dipanggil bagi membantu siasatan sebagai saksi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan ke atas Pamela pada Januari lalu dibuat kerana wanita itu gagal mematuhi arahan untuk hadir memberi keterangan.
“Saya tidak pernah kata dia suspek. Saya hanya sebut dia adalah subjek dalam kes di mana dia tidak hadir seperti diarahkan.
“Jadi dalam kes ini, dia adalah saksi untuk membantu siasatan. Kami tidak pernah panggil dia untuk ditahan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kes ini saya maintain (kekal) dengan kenyataan bahawa (kejadian) berlaku luar premis SPRM. SPRM telah memberikan kerjasama yang baik, apa-apa dikehendaki polis kita berikan.
“Beliau (Pamela) ditangkap kerana gagal untuk hadir bukan atas siasatan kami, gagal hadir ini satu kesalahan kerana ingkar perintah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Azam bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan melibatkan Pamela.
Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu sepatutnya bertemu pegawai SPRM pada 9 April namun didakwa hilang ketika dalam perjalanan ke lokasi tersebut.
Sehingga kini, ibu tiga anak tersebut masih belum dijumpai.- KOSMO! ONLINE