fbpx
KELIBAT hero Suri Hati Mr. Pilot, Fattah Amin yang dipakaikan sut lengkap juruterbang menarik perhatian umum di LIMA'25.

Tanpa ‘Oppa Jet’, siapa hero LIMA’25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEMPITA langit Langkawi dengan deruman jet-jet pejuang sudah disaksilkan kita semua, baik secara langsung mahupun video-video rakaman profesional dan amatur yang dikongsikan dalam media sosial.

Kalau penulis masih kanak-kanak di bangku sekolah, pasti cita-cita hendak menjadi peguam atau guru diketepikan berganti juruterbang jet pejuang macam dalam Top Gun atau sekuelnya, Top Gun: Maverick. Paling tidak macam Soar Into The Sun atau R2B: Return to Base dari Korea Selatan.

Itu semua mimpi yang sesekali boleh dilayan ketika berfantasi dan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) sekali lagi menghadirkan fantasi tersebut kepada rakyat Malaysia yang biasa-biasa – yang bersungguh berpanas di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resorts World Langkawi untuk menyaksikan gambaran apa itu LIMA dalam kepala masing-masing selama ini.

Jauh di Kuala Lumpur, penulis sendiri tidak pernah merasai kenikmatan LIMA yang telah memasuki edisi ke-17 penganjuran. Untuk individu yang tidak perlu ambil tahu tentang inovasi keselamatan dan teknologi pertahanan, LIMA hanyalah pameran kehebatan aset ketenteraan, boleh tengok jet pejuang depan mata.

Namun selepas penganjuran pada 2023, LIMA memberi satu ekspektasi hiburan yang tinggi yang barangkali tidak pernah berlaku selama penganjurannya sejak 1991. Terasa masih hangat walhal sudah dua tahun berlalu, begitulah impak tularnya video-video juruterbang jet pejuang ‘Oppa Jet’ dari Korea Selatan yang bukan sedikit kegilaannya.

Fenomena ‘Oppa Jet’ bukan sekadar ‘hype’ kosong tetapi satu ledakan budaya luar biasa apatah lagi pasukan aerobatik Black Eagles Korea Selatan bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi udara, tetapi juga menawan hati penonton dengan gaya profesional, disiplin, dan penampilan mereka yang K-pop ‘vibes’.

Mereka juga tidak hanya ‘terbang’ bahkan ‘turun ke bumi’ bertemu peminat yang kepanasan menunggu melihat perwira sebenar yang memandu jet pejuang.

Media sosial, TikTok khususnya menjadikan juruterbang itu sebagai selebriti sekelip mata dengan ribuan video, ulasan dan konten ‘fangirl’ menjadikan LIMA yang biasanya teknikal dan serius lebih aksesibel kepada anak muda khususnya wanita yang mungkin sebelum ini tidak ambil peduli langsung tentang jet pejuang.

Tahun ini, gempita kegilaan LIMA nampaknya tidak setanding 2023. Hero ‘Oppa Jet’ yang seperti ‘bersayap’ turun dari Black Eagles tidak lagi kelihatan. Kata netizen dalam TikTok, ‘tiada Black Eagles tak ada hal sebab ada Russian Knights jadi penyeri’. Okeylah penyedap hati.

Cuma apa yang tiada pada LIMA’23, ada pada LIMA ‘25 adalah kelibat hero Suri Hati Mr. Pilot, Fattah Amin yang dipakaikan sut lengkap juruterbang. Tidak keruan juga orang ramai dibuatnya. Terbasuh sedikit dahaga khalayak yang mengharapkan adanya elemen pop dan penyejuk mata saat melayan bahang kepanasan di Langkawi.

Mungkin kalau ada Hairul Azreen atau barisan bintang Air Force The Movie: Selagi Bernyawa macam Datuk Adi Putra, ada vibes lain yang boleh dirasakan. Masih ada dua hari sebelum paluan berundur, siapa berdekatan pergilah tengok LIMA’25 mana tahu ada rezeki dapat jumpa kesatria Russia!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN