fbpx
Gambar hiasan

Bersara umur 65 tahun boleh simpan banyak duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CADANGAN agar kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan wajib dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan umur dan latar belakang.

Pandangan peribadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, baru-baru ini, dilontarkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap jumlah individu yang berusia 60 tahun ke atas yang dilihat masih sihat, aktif dan berkemampuan untuk terus menyumbang perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, rata-rata orang ramai berpendapat, menaikkan lagi had umur persaraan bakal memberi kesan terhadap peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia dan pertengahan umur.

Segelintir juga membayangkan, cadangan berkenaan hanya akan memberikan tekanan kepada golongan pekerja lanjut usia disebabkan faktor kesihatan dan kurangnya masa bersama keluarga.

Malah, tidak kurang juga yang memandang positif kerana berpendapat, masih ada yang memerlukan pekerjaan ketika usia senja bagi menampung keperluan hidup bersama keluarga.

Pakar ekonomi Universiti MUST, Selangor, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, tempoh lanjutan lima tahun itu memberi harapan khususnya kepada kakitangan kerajaan yang memilih skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, ia berikutan ramai penjawat awam telah membuat pengeluaran khas KWSP ketika pandemik Covid-19 melanda negara, beberapa tahun lalu.

“Hari ini mereka mungkin berdepan masa depan yang gelap jika bersara pada umur 60 tahun kerana simpanan KWSP mereka kurang daripada RM10,000.

“Oleh itu, mereka tidak boleh bersara tambahan kebanyakannya masih produktif. Jadi, kalau ada tambahan lima tahun mereka boleh kumpul lebih banyak wang simpanan untuk kelangsungan hidup,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Namun katanya, ia secara tidak langsung juga boleh memberi kesan kepada golongan belia yang sedang cuba menempatkan diri dalam sektor kerajaan.

“Golongan belia sukar mendapat kerja selagi tiada kekosongan yang diharapkan daripada kumpulan yang sepatutnya bersara pada usia 60 tahun.

“Ia menyebabkan mereka kecewa dan terpaksa menunggu lebih lama khususnya untuk masuk ke perkhidmatan awam dan jika berjaya sekalipun, hanya bagi tempoh sementara,” ujarnya.

Oleh kerana itu, beliau berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan secara bersasar bergantung kepada tawaran dan kepakaran tertentu.

“Saya rasa kita perlu terima cadangan itu secara umum dengan melaksanakannya secara bersasar iaitu membenarkan kumpulan tertentu yang mempunyai kepakaran khas untuk meneruskan perkhidmatan.

“Namun secara umumnya, persaraan pada usia 60 tahun perlu dikekalkan bagi membolehkan jawatan sedia ada dikosongkan bagi membolehkan ia diisi oleh golongan belia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN