fbpx

Mangsa simbah asid sempat WhatsApp ‘Jahat mu ya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Syahrul Ikhwan menunjukkan tangkapan skrin perbualan antara isterinya dengan suspek sebelum ia dipadam selepas kejadian simbahan asid pada malam kelmarin.

BACHOK – Salah seorang daripada suspek yang menyamar sebagai pelanggan sebelum menyimbah cecair dipercayai asid ke arah pemilik sebuah spa dan salun kecantikan di Beris Kubur Besar di sini kelmarin, bertindak memadam mesej perbualan dengan mangsa.

Suami mangsa, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, isterinya, Nor Faziera Muda, 27, sempat membuat tangkapan skrin perbualan dengan pelanggan yang kononnya mahu berurut di spa miliknya kira-kira pukul 8.40 malam iaitu beberapa minit selepas kejadian itu.

Menurutnya, isterinya berbuat demikian selepas mengesyaki suspek terbabit adalah pelaku yang menyimbah asid kepadanya.

“Melalui perbualan WhatsApp itu, suspek pada awalnya membuat tempahan untuk mengurut selama tiga jam dengan bayaran RM200 di spa. Beberapa minit sebelum kejadian, suspek ada mesej memaklumkan dia melihat selipar lelaki di luar premis.

“Isteri memaklumkan dia ada di dalam spa dan premis itu tidak membenarkan pelanggan lelaki masuk. Selepas itu, suspek terus datang ke pintu dan terus menyimbah asid ke arahnya sebelum melarikan diri.

“Walaupun panik dan sakit, isteri saya sempat membuka perbualan WhatsApp dengan suspek dan menghantar mesej kepadanya dengan pesanan ‘jahat mu ya’. Kurang daripada seminit kemudian, suspek memadam semua perbualan dia dan isteri saya,” katanya ketika ditemui pemberita di pekan Beris Kubur Besar di sini hari ini.

Katanya, nombor telefon suspek itu juga tidak dapat dihubungi selepas kejadian tersebut.

Dia tidak menyangka isterinya dianiaya sehingga menyebabkan kecederaan yang teruk pada bahagian belakang dan lengannya.

Kosmo! semalam melaporkan pakaian seorang pemilik spa terbakar, manakala bahagian lengan dan belakangnya melecur selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh empat individu yang berpurdah di premisnya di Beris Kubur Besar di sini kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan mangsa parah dan menjalani pembedahan selama enam jam di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dekat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI