TELUK INTAN – Pemandu lori muatan batu yang terlibat nahas tragis membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini pada Selasa lalu, memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, berkata, dia berharap keluarga kesemua mangsa dapat memaafkan kesalahannya.
“Saya memang minta maaf. Saya harap keluarga mangsa dapat maafkan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bangunan Mahkamah Teluk Intan di sini hari ini.
Selasa lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, kenderaan membawa anggota FRU itu dirempuh dari hadapan oleh lori muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, lapan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
Terdahulu, Rudi Zulkarnain dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM6,000 bagi sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU pada 13 Mei lalu.
Pembayaran wang jaminan tersebut dibuat oleh majikan lelaki itu dikenali sebagai Ravi, 58, dan jiran sekampungnya dikenali sebagai Roslan, 62.
Bagaimanapun, lelaki yang berasal dari Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang itu ditangkap semula oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk. selepas 20 minit dibebaskan.
Penahanan semula lelaki itu bagi membantu siasatan kes curi lembu di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada April lalu. – KOSMO! ONLINE