TELUK INTAN – Pemandu lori yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu dibebaskan selepas wang jaminan berjumlah RM6,000 dijelaskan hari ini.
Proses jaminan itu dilakukan majikan tertuduh yang dikenali sebagai Ravi, 58, dan jiran lelaki tersebut bernama Roslan, 68, masing-masing RM4,000 dan RM2,000.
Pada Jumaat lalu, tertuduh, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU di Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian S. Perumal, 44, Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46, Mohd. Pozli Jaudin, 41, Nurit Pandak, 34, dan Amiruddin Zabri, 38.
Turut terkorban Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, Muhamad Akmal Muhamad, 35, Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kesemua pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE