PETALING JAYA – Satu luahan emosi yang mencuri perhatian ramai tular di media sosial apabila seorang wanita berkongsi pengalaman pahit bersama keluarga suaminya, terutama ibu mentua apabila didakwa sering menunjukkan layanan dingin terhadap dirinya.
Wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan, mengakui bahawa dia sering berasa tidak selesa dan tidak gembira setiap kali pulang ke rumah mentua.
Menurut perkongsiannya di kumpulan Facebook, Luahan Hati Seorang Isteri, layanan yang dingin serta perbezaan sikap ibu mentua terhadap dirinya berbanding orang luar menjadi antara sebab utama perasaan itu timbul.
“Saya rasa macam tunggul setiap kali balik sana. Ibu mentua saya bukan jenis peramah. Tapi dengan orang luar, bukan main pandai bercakap,” luahnya.
Situasi menjadi lebih jelas apabila dia menceritakan insiden sewaktu majlis pernikahannya, di mana ibu mentua enggan bergambar bersama pihak perempuan dan hanya mahu duduk di sebelah anaknya.
Dalam majlis akikah pula, ibu mentuanya dikatakan hanya duduk bersendirian tanpa menyapa ibu bapa pihak perempuan.
“Semasa mengandung kalau saya balik sana. Dia nampak je saya duduk luar, sanggup dia pusing balik ikut pintu dapur kalau nak keluar. Makin lama perangai dia macam tu makin meluat.
“Dengan saya tak berborak. Saya sahaja beria. Semasa saya ‘warded’, dia datang melawat lima minit sahaja. Mak saya ada dekat situ, dia tak borak pun. Tarik kerusi pun duduk jauh-jauh, tahu-tahu tahu balik rumah dah,” katanya.
Luahan wanita itu turut menyentuh isu kesihatan anak kecilnya apabila bapa mentuanya yang merokok dikatakan tetap mencium cucunya tanpa mengambil kira faktor kebersihan dan kesihatan.
“Terlalu banyak perangai pelik dia sampai susah saya nak cerita satu-satu. Saya jadi makin meluat. Salah ke saya ada perasaan tak suka. Mental saya kadang-kadang sedih,” luahnya.
Di ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan netizen dan ada yang bersimpati serta menyokong perasaan wanita itu disebabkan dia dianggap tersepit dengan situasi keluarga mentuanya.
“Buat apa nak sakitkan hati sendiri kak. Lebih baik tak perlu balik pun tak apa dari sendiri yang sakit. Bukan kita yg yang perangai, dia (mentua) yang buat perangai. Sakit hati baca. Kalau akak berduit baru dia pandang agaknya,” kata seorang pengguna.
“Akak baru anak seorang kan? Percayalah nanti anak kedua, ketiga pun tetap begitu. Sebab kita ‘sekasut’, orang yang kena sahaja faham,” kongsi Farah. – KOSMO! ONLINE