AMPANG JAYA – Seorang guru tuisyen ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pusat tuisyen di Pandan Indah, di sini.
Difahamkan, perkara itu terbongkar selepas kanak-kanak berusia 10 tahun itu mendedahkan perkara tersebut kepada ibunya.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku selepas guru tersebut mula mengajar di pusat tuisyen berkenaan sejak Mac lalu.
“Ibu terus tampil ke Balai Polis Pandan Indah sejurus selepas mendengar aduan anak perempuannya.
“Pihak polis sudah menahan suspek Selasa lalu bagi membantu siasatan,” katanya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi hari ini.
“Suspek kini direman dan kes sudah mendapat arahan pertuduhan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Suspek akan didakwa di mahkamah Selasa ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE