fbpx

‘Mula-mula sakit perut, rupanya hidap kanser usus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Amin bersama isteri dan anak-anak mereka ketika ditemui di rumah mereka di Tampin baru-baru ini.

TAMPIN – Tujuh beranak berdepan ujian berat apabila ke­tua keluarga, Mohd. Amin Nor Mokhtar yang sebelum ini mencari rezeki disahkan menghidap kanser usus tahap tiga sejak awal tahun ini.

Isterinya, Nurul Aida Abdul, 35, pula kini masih dalam pantang selepas melahirkan bayi kelima mereka yang baru sahaja berusia 27 hari, manakala empat lagi anak mereka berusia antara 4 hingga 11 tahun.

Nurul Aida berkata, sebelum ini, suaminya, Mohd. Amin, 34, sering mengalami sakit perut, tetapi mereka anggap ia tidak serius dan hanya gastrik.

“Mula-mula sakit perut sebelah kiri, selepas itu kerap demam dan kemudiannya kencing ber­darah. Sebulan juga sakit begitu dan telah pergi ke klinik.

“Kami tunggu keputusan darah, namun apabila melihat suami semakin sakit, kami terus ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah. Selepas scan rupa-rupanya usus suami sudah bocor dan disahkan kanser usus tahap tiga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nurul Aida berkata, dia se­ring terfikir nasib anak-anak yang masih kecil sehingga ada yang bertanya sama ada mahu menye­rahkan bayi yang baru dilahirkan kepada individu lain.

“Tetapi saya tak sanggup nak pisahkan mereka adik-beradik. Alhamdulillah, keluarga serta kenalan kami sangat memahami dan sentiasa membantu,”
kata­nya.

Mohd. Amin yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu jentera berat berkata, berat badannya semakin susut daripada 60 kilogram (kg), kini hanya tinggal kira-kira 40kg.

Katanya, dia juga menggunakan beg stoma selain memerlukan susu khas.

“Sudah dua bulan kami terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM900 sebulan dan duit itu digunakan untuk membeli beg stoma, susu dan keperluan anak.

“Dari segi makan, minum, mujur ada myKasih dan sokongan keluarga serta kenalan. Saya juga pernah menerima bantuan one off Baitulmal,” katanya yang kini menjalani rawatan kemoterapi.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya ke akaun BSN 05400-41-10000481-2 atas nama Nurul Aida Abdul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI