SEREMBAN – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Nilai – Pajam di sini semasa dia dalam perjalanan dari arah Beranang menghala ke Nilai awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30an meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
“Setiba di lokasi, sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berumur lewat 60an dipercayai sedang memotong kenderaan di hadapannya. Motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut, “katanya ketika dihubungi di sini.
Abdul Malik berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE