SHAH ALAM – Graduan Management and Science University (MSU) diingatkan menjadikan integriti sebagai pegangan hidup mereka.
Raja Muda Kedah yang juga Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, integriti merupakan aset paling berharga dalam menghadapi godaan dan tidak mengambil jalan pintas ketika melakukan sesuatu.
Titahnya, graduan harus menjadi individu yang boleh dipercayai kerana sifat amanah dan kejujuran mereka.
“Berpegang kepada prinsip bererti melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.
“Apabila anda berasa terbeban atau berdepan cabaran, terimanya sebagai proses pembelajaran dan dengan adanya integriti menjadikan diri anda berada di tempat yang betul,” titahnya pada Majlis Konvokesyen ke-35 MSU di Dewan Canselor MSU, hari ini.

Tengku Sarafudin Badlishah turut bertitah, supaya graduan melengkapi diri dengan pengetahuan dan kemahiran semasa dalam dunia yang berkembang dengan pantas ketika ini.
Baginda menegaskan, apa yang penting adalah keupayaan untuk terus belajar dan terbuka dengan idea-idea baharu.
Dalam pada itu, Tengku Sarafudin Badlishah menzahirkan rasa bangga apabila MSU kini menjadi antara destinasi pilihan pelajar antarabangsa dari lebih 73 buah negara dari seluruh dunia untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang dan program pengajian.

“Saya dimaklumkan bahawa MSU juga telah membangunkan kurikulum akademik dan menjalankan banyak penyelidikan dan inovasi, latihan dan pembangunan perisian tentang AI dan Cybersecurity yang memenuhi Pelan Transformasi Digital Malaysia Digital.
“Malah MSU telah menubuhkan Centre of Excellence (CoE), Software Engineering & Digital Innovation (SenDI) dan Centre of AI and Cybersecurity (AICS) untuk merealisasikan fokus dan agenda tersebut,” titahnya. – KOSMO! ONLINE