KANGAR – Seorang nelayan maut dipanah petir ketika memukat udang di pesisiran Pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.50 malam itu, mangsa, Muhamad Faiez Othman, 28, mengalami pendarahan di telinga kiri selain melecur di paha kanan.
Lelaki itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, mangsa dan seorang awak-awak keluar memukat udang dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang ke lokasi kejadian pada pukul 7 malam.
“Pada pukul 9.50 malam, kawasan itu dilanda hujan dan kilat jadi mangsa ambil keputusan untuk pulang ke jeti.
“Ketika dalam perjalanan ke jeti, tiba-tiba kilat menyambar menyebabkan mangsa rebah dan terlentang,” katanya hari ini.
Menurut beliau, awak-awak itu kemudian menutup enjin dan mendekati mangsa yang sudah kaku.
“Dia panggil rakan-rakan nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut dan menghubungi abang mangsa yang berada di daratan untuk meminta bantuan,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa seterusnya dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HTF menggunakan ambulans dari Klinik Kesihatan Kuala Sanglang dan disahkan telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati berlaku pendarahan di telinga sebelah kiri dan luka melecur di paha sebelah kanan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE