LONDON – Pelumba uji Honda, Aleix Espargaro optimis pasukan pengeluar dari Jepun itu bakal bangkit sebagai pencabar utama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) menjelang musim 2027 apabila era baharu enjin 850cc bermula.
Bekas pelumba utama Aprilia itu berkata, perkembangan positif ditunjukkan Honda sejak musim lalu membuktikan mereka berada di landasan tepat hasil komitmen tinggi dan struktur pasukan yang lebih tersusun.
“Saya percaya 100 peratus terhadap projek ini. Honda adalah kuasa besar dalam sukan ini. Mereka mempunyai matlamat yang jelas iaitu mahu kembali menang,” katanya.
Honda menyusun strategi dengan baik termasuk meningkatkan prestasi enjin bagi musim 2026 dan dijangka kembali bersaing dalam kelompok teratas.
“Saya yakin, sebelum peraturan baharu dilaksanakan, mereka mampu berada di atas podium semula. Malah, tahun 2026 berpotensi menjadi musim yang menyaksikan Honda berada dalam lima teratas dunia.
“Jentera musim 2027 pula saya percaya akan menjadi prototaip yang benar-benar mampu mencabar kejuaraan dunia,” katanya.
Espargaro yang kembali menyertai saingan sebagai pelumba wildcard bersama Honda pada Grand Prix (GP) Sepanyol baru-baru ini, dijangka sekali lagi beraksi dalam pusingan seterusnya menjelang GP Britain hujung minggu ini.
Meskipun berjaya meraih mata dalam penampilan terdahulu, keputusan itu dibatalkan selepas dia dikenakan penalti susulan pelanggaran peraturan tekanan tayar.
Kenyataan pelumba berusia 34 tahun itu secara tidak langsung mencetuskan spekulasi baharu mengenai masa depan Honda, termasuk kemungkinan Jorge Martin menyertai mereka selepas didakwa mahu meninggalkan Aprilia lebih awal daripada kontrak asal. – AGENSI