PETALING JAYA – Seorang pendakwah bebas menegur sikap segelintir umat Islam yang disifatkan mudah untuk ‘khurafatkan’ sesuatu peristiwa, termasuk insiden anak gajah mati baru-baru ini dengan awan menyerupai haiwan tersebut.
Pendakwah tersebut, Dr. Ahmad Kamil Jamilin membuat teguran berkenaan selepas tular video dan gambar awan dikaitkan dengan bentuk gajah, malah sebelum ini pernah juga dikaitkan dengan pelbagai corak lain seperti kalimah Allah, malaikat, bentuk salib dan sebagainya.
“Lagi teruk bila kita kaitkan dengan kepercayaan atau agama tertentu, konon-konon ia bawa mesej tertentu, atau bukti kepada apa yang kita percaya. Hari ni kita kata, nampak corak kalimah Allah dekat kurma kita makan, tapi kalau esok kita nampak salib pada kurma kita makan, macam mana?
“Kat sini kata nampak awan ada corak kalimah Allah, kat negara barat mereka dakwa nampak awan corak Jesus, Mary. Mereka bakar roti ada nampak corak Mary macam tu.
“Ini semua khurafat, sesuatu peristiwa terutama kematian atau kelahiran seseorang tak ada kaitan dengan fenomena alam,” katanya pada hantaran video di media sosial.
Ahmad Kamil berkata, terdapat istilah ‘cognitive biases’ atau ‘clustering illusion’ dan berdasarkan pembacaan beliau, otak manusia suka menterjemah kepada perkara yang dilihat terutama bentuk atau corak tertentu.
“Kemudian kaitkan dengan imaginasi yang kita cipta sendiri sebab otak kita dah terbiasa dengan corak atau bentuk tertentu. Yelah, senang nak bezakan sesuatu, senang untuk kenal sesuatu.
“Cuma kadang-kadang bila corak atau bentuk tak jelas, kita cenderung untuk nak kaitkan dengan bentuk atau corak tertentu. Itulah yang timbul misalnya awan ni rupa gajah lah, kalimah Allah, ada rupa salib, rupa malaikat, Jesus sebagainya,” katanya.
Beliau turut memetik satu peristiwa di zaman Nabi Muhammad SAW iaitu ketika kewafatan anak baginda iaitu Ibrahim.
“Kebetulan pada waktu itu berlaku gerhana sehingga sahabat pun sebahagiannya menyangka gerhana itu ada kaitan mungkin bersedih dengan kematian anak nabi kita.
“Tapi Nabi Muhammad SAW bersabda, sesungguhnya gerhana matahari atau bulan tidak terjadi dengan kematian atau kelahiran seseorang, tetapi kedua-duanya tanda kekuasaan Allah SWT,” jelas beliau.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seekor gajah betina ‘mengamuk’ dan merosakkan sebuah lori muatan ayam selepas anak haiwan liar itu mati dirempuh di Kilometer 80, Jalan Raya-Timur Barat (JRTB) Gerik Jeli, Gerik, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE
@drkamilinjamilin ⛔️ Jauhi KHURAFAT! Awan Bentuk Gajah? Kalimah Allah? Salib? Jesus? Apa Lagi?? #IsuSemasa #ClusteringIllusion #CognitiveBias ♬ original sound – Dr. Kamilin Jamilin