GEORGE TOWN – Seorang lelaki dilaporkan terselamat apabila lori ais yang dia pandu terbakar di bahagian hadapan dalam kejadian di atas jejambat di Bayan Lepas, menghala ke Teluk Kumbar di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 9.35 pagi.
Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau dengan bantuan BBP Bayan Baru.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.49 pagi namun operasi pemantauan dan kawalan masih diteruskan sehingga kini,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan tindakan segera telah diambil bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain. -KOSMO! ONLINE