PONTIAN – Walaupun memperolehi pendapatan lumayan bekerja di pelantar cari gali minyak, namun minat dalam bidang pertanian telah mengubahnya menjadi seorang petani sepenuh masa.
Mohd. Nazri Bachok, 39, berkata, selama sudah lima tahun berada di atas lautan, namun bekerja di daratan dapat memberi kepuasan kepadanya.
“Ibunya memberinya sebidang tanah untuk diusahakan membuatkannya tekad untuk berbudi kepada tanah,” ujarnya.
Setelah tidak lagi berkhidmat dengan syarikat cari gali minyak, saya melabur kira-kira RM100,000 pada tahun 2023 dengan membuka kebun tersebut untuk dijadikan tapak pertanian,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Peradin, di sini, baru-baru ini.
Tambah Mohd. Nazri, bagi permulaan dia telah menanam pokok jagung manis selama lima musim, namun tidak memberikan pulangan yang baik selain sukar untuk memasarkan hasilnya terus kepada pembeli.
“Percubaan saya bagi kali pertama tidak memberikan banyak keuntungan sebaliknya mengalami kerugian kerana bukan senang untuk menanam jagung terutama soal pemasaran,” ujarnya.
Katanya, selepas kegagalan menanam jagung, saya beralih kepada sistem fertigasi gantung pada tahun 2024 dengan beralih kepada tanaman peria katak atau peria bangla, timun dan kacang panjang.
Menurut Mohd. Nazri, bagi tujuan tersebut, dia mengeluarkan sebanyak RM40,000 lagi penyediaan fertigasi gantung termasuk sistem pengairan, kayu penyokong, peralatan membancuh baja dan sebagainya.
“Alhamdulillah, dengan berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang telah berjaya dalam bidang fertigasi gantung, projek pertama tanaman timun sebanyak 2,000 polibeg berjaya meraih pendapatan yang baik.
“Begitu juga dengan tanaman peria katak sebanyak 700 polybag juga mendapat sambutan yang baik peraih sayur-sayuran selain menghantar sendiri ke pasaran di Johor Bahru,” jelas Mohd. Nazri anak bongsu daripada lima beradik.
Katanya, selain kedua-dua tanaman tersebut, dia juga menanam kacang panjang.
Ujarnya, dia sekarang sedang menyiapkan tapak tanaman terung bagi memenuhi permintaan daripada pembeli selain mempelbagaikan tanaman di atas tanah yang kosong di belakangnya.















