PETALING JAYA – Polis akan mengambil keterangan tiga anak Datin Seri Pamela Ling Yueh di Singapura bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita terbabit yang disyaki diculik pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, setakat ini seramai 27 orang telah diambil keterangan.
“Tiga anak beliau (Pamela) yang berada di Singapura akan diambil keterangan dalam masa terdekat.
“Kes ini masih dalam siasatan dan keterangan juga akan diambil ke atas lain-lain saksi di sana (Singapura) jika ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pihak Interpol sedang mengatur proses merakam keterangan anak-anak Pamela.
Polis juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kemungkinan Pamela melarikan diri ke luar negara dengan menggunakan dokumen individu lain.
Sebelum ini, Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan SPRM, Putrajaya sekitar pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan masih berjalan dan setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan suami kepada wanita terbabit adalah suspek selain beberapa individu lain. – KOSMO! ONLINE