SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 68 Jalan Alor Setar-Butterworth di Tikam Batu, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 malam itu, mangsa, Mohd. Faiz Samsudin, 30, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS dari Tikam Batu ke Sungai Petani.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa terbabas selepas melanggar wayar lampu jalan yang melintang di laluan itu menyebabkan dia tercampak ke tengah jalan dan dalam masa sama, dua kenderaan jenis Perodua Alza dan Renault yang mengikuti di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
“Sementara pemandu Perodua Alza iaitu seorang peniaga wanita berusia 29 tahun dan pemandu Renault seorang lelaki berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk bedah siasat.
“Kita sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian itu dan pengguna jalan raya yang sempat merakam kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE