fbpx

Guru Pemacu Reformasi: Ayuh meriahkan Sambutan Hari Guru 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peranan guru bukan sahaja menjadi penyampai ilmu tetapi bertanggungjawab dalam memimpin, membimbing dan menjadi agen inovasi dalam memperkasa sistem pendidikan negara. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 kembali dengan lebih meriah dan bermakna!

Kali ini, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara yang penuh penghargaan buat para pendidik dengan pelbagai program menarik termasuk konsert serta pameran pendidikan, terbuka kepada orang ramai bermula minggu ini sehingga kemuncak sambutan pada 16 Mei 2025 di Borneo Convention Centre Kuching.

Sambutan pada tahun ini di­jangka diha­diri ribuan pengunjung dari seluruh negara melibatkan pelbagai latar belakang.

Melalui tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, sambutan tahun ini mengetengahkan peranan guru sebagai penggerak utama dalam transformasi sistem pendidikan negara.

Dalam era perubahan pesat dunia pendidikan, peranan guru tidak lagi terhad sebagai penyampai ilmu, malah turut berfungsi sebagai pemimpin, pembimbing dan ejen inovasi dalam memperkasakan sistem pendidikan negara.

Konsep ‘Guru Pemacu’ kini menjadi tumpuan sebagai strategi utama dalam merealisasikan reformasi pendidikan yang menyeluruh dan mampan.

Guru pemacu merujuk kepada pendidik yang berupaya membawa perubahan positif melalui pendekatan pengajaran berasaskan data, pemikiran proaktif dan usaha berterusan memastikan setiap murid mencapai potensi terbaik mereka.

Selain membimbing pelajar, guru pemacu juga memainkan pe­ranan penting dalam memimpin rakan sejawat ke arah amalan pengajaran yang lebih inklusif, berkesan dan berdaya saing.

Reformasi pendidikan yang sedang digerakkan memerlukan komitmen tinggi daripada warga pendidik bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem sedia ada.

Justeru, guru perlu memperkemas gerak kerja serta mereformasi pendekatan pengajaran dan pem­belajaran agar selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

Tiga elemen utama iaitu ke­utamaan, keselarasan dan kebersamaan digariskan sebagai panduan dalam setiap tindakan yang diambil oleh guru.

Keutamaan merujuk kepada fokus terhadap impak pem­belajaran, keselarasan memastikan kesinambungan antara dasar dan pelaksanaan, manakala kebersamaan menekankan kerjasama semua pihak dalam komuniti pendidikan.

Selain ibu bapa dan keluarga, guru memainkan peranan melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga sahsiah diri dan berpersonaliti tinggi. – Gambar hiasan

Selain warga pendidik, sambutan turut diraikan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS), serta pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi tulang belakang kepada agenda pendidikan negara.

Sambutan ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga bertujuan menyemarakkan semangat keguruan, memperkukuh jaringan strategik pendidikan dan memupuk kerjasama antara guru, masyarakat serta sektor swasta.

Ia turut memberi penekanan kepada pendidikan digital, profesionalisme guru dan pembangunan generasi Madani yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun, bersempena dengan penerimaan cadangan Laporan Razak pada tahun 1956 sebagai dasar pelajaran negara.

Objektif sambutan tahun ini termasuklah menghargai peranan guru, memupuk perpaduan dalam kalangan pendidik serta meningkatkan martabat profesion keguruan di mata masyarakat.

Ayuh, raikan guru anda dengan memeriahkan kesemua acara yang dianjurkan dan menggunakan peluang ini untuk menzahirkan penghargaan kepada para pendidik negara.

Sama ada sebagai ibu bapa, pelajar, komuniti atau rakan strategik, marilah kita bersama-sama meraikan insan yang telah mencurahkan ilmu dan membentuk masa depan anak bangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI