PUTRAJAYA- Pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dicapai Sabah apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM82.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023 dengan unjuran RM84.9 bilion bagi 2024 membuktikan negeri itu kini berada di landasan tepat.
Jika diimbas kembali, KDNK Sabah pada tahun 2020 hanya merekodkan RM77.8 bilion yang mana ketika ini Covid-19 sedang melanda negara sebelum mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus dengan nilai RM78.7 bilion pada 2021.
Dalam konteks ini, pencapaian memberangsangkan itu dilihat turut disokong pelaksanaan Kerangka Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diilhamkan oleh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pelan pembangunan untuk tempoh empat tahun bermula 2021 hingga 2025 kini dilihat mula membuahkan hasil bukan sahaja daripada aspek peningkatan ekonomi, malah meliputi kemasukan pelabur, perkembangan industri pembuatan selain kesejahteraan rakyat.
Kejayaan pelaksanaan kerangka SMJ juga dilihat berjaya ‘membuka mata’ Kerajaan Persekutuan untuk memberi tumpuan utama kepada Sabah yang kini dianggap sebagai antara negeri bergerak laju setanding kepimpinan di Semenanjung.
Untuk rekod, Sabah juga menjadi antara penerima tertinggi dalam Belanjawan Nasional tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM6.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.
Keadaan itu bukan sahaja membuktikan bahawa suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat Persekutuan, malah menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Kejayaan hasil usaha semua pihak
Menurut Hajiji, kejayaan dikecapi Sabah ketika ini ialah hasil usaha semua pihak dalam memastikan Hala Tuju SMJ diperkasa bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Jika kita terus menyumbang tenaga kita secara positif melalui kerjasama yang erat, tidak mustahil untuk melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya kita dengan jayanya,” katanya baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hajiji mengingatkan semua pihak supaya tidak berasa selesa dengan kejayaan yang dicapai setakat ini melalui Hala Tuju SMJ.
“Kita mesti terus bekerja keras dan lebih proaktif. Semua kepimpinan negeri, ketua jabatan dan ketua peringkat daerah mesti lebih kerap turun padang untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang berjalan.
“Ini penting untuk memastikan setiap program dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh dan pada tahun ini sebanyak 1,265 projek dan program mesti diselesaikan di Sabah,” katanya.
Hala tuju SMJ rangkumi elemen utama
Untuk makluman, Hala Tuju SMJ merangkumi beberapa elemen utama iaitu tumpuan kepada sektor pertanian, perindustrian, pelancongan, modal insan dan kesejahteraan rakyat selain jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
Melalui fokus kepada sektor utama itu, beberapa kejayaan telah dicapai Sabah dalam tempoh empat tahun, seterusnya menjadikan Negeri di Bawah Bayu antara negeri ‘menyinar’ di Malaysia ketika ini.

Menerusi aspek pelaburan, China terus menjadi rakan perniagaan penting bagi Sabah dengan jumlah eksport ke negara berkenaan bernilai RM7.6 bilion atau 19.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada 2023.
Eksport utama Sabah ke China antaranya melibatkan minyak sawit, kayu balak, makanan laut dan getah, manakala import dari China pula meliputi mesin, barangan elektronik serta item keluaran kilang.
Selain itu, kerangka SMJ juga berjaya menjadikan Korea Selatan sebagai antara rakan dagang terbesar Sabah yang mana negara itu merupakan antara pelabur signifikan dalam usaha merancakkan pembangunan sosioekonomi Sabah.
Dalam konteks ini, syarikat SK Nexilis telah melabur lebih RM2 bilion dengan membina kilang pembuatan kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik dengan menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan di Sabah.
Dalam pada itu, keyakinan syarikat penerbangan seperti Air Asia, Air Busan dan Asiana Airlines membuka penerbangan terus ke Korea Selatan juga membuktikan potensi Sabah bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah lubuk pelaburan di bahagian Malaysia Timur.
Peranan penting ECos, SMJ Energy
Dalam pada itu, bercakap mengenai Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECos), Hajiji berkata, penubuhan entiti itu telah membuka lembaran baharu dalam pengurusan sektor tenaga di Sabah.
Katanya, sejak penubuhan entiti itu, pelbagai inisiatif telah diambil ECos bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam sektor tenaga.
“Dengan kuasa pengawalseliaan yang telah dimandatkan melalui lunas undang-undang, ECoS perlu terus komited untuk memastikan pembangunan sektor tenaga yang teratur dan cekap.
“Ia sekali gus bakal menyokong pembangunan ekonomi Sabah serta memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, kejayaan pelaksanaan Hala Tuju SMJ juga dapat diterjemahkan apabila SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJ Energy) mengumumkan keputusan tidak diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM362 juta berbanding RM259 juta pada 2023.
Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pencapaian itu dicapai susulan dedikasi pasukan profesional yang bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk PETRONAS.
Katanya, dengan portfolio seimbang meliputi sektor Huluan (Upstream), LNG, Petrokimia (Petchem) dan FPSO/FSO, kewangan SMJ Energy dijangka kekal kukuh walaupun dalam senario harga minyak rendah.
Pendapatan SMJ Energy terus meningkat setiap tahun dengan didorong sumbangan kukuh daripada Samarang Production Sharing Contract (PSC), loji pencairan LNG Train 9, Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn. Bhd. (PCFSSB) serta operasi Floating Production & Storage (FPSO) dan Floating Storage Operation (FSO) milik Sabah International Petroleum (SIP) yang bebas hutang.
Selain itu, kerangka Ekonomi Biru bagi meneroka manfaat dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh diperbaharui turut menjadi ‘game changer’ kepada kepimpinan Hajiji.
Ia bukan sahaja memberikan limpahan manfaat kepada rakyat Sabah, malah berupaya meningkatkan KDNK negeri daripada sumber maritim serta penggunaan teknologi. – KOSMO! ONLINE