Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Itu kata pepatah Melayu yang sesuai diungkapkan buat gadis Pesona Ahad minggu ini, Safiyya Sheriza.
Berusia 23 tahun, Safiyya sudah melebarkan sayap dalam dunia lakonan termasuk luar negara. Bermula dengan iklan komersial sewaktu berusia tujuh tahun, gadis ini terus mengorak langkah terlibat dalam beberapa iklan raya dan produksi antaranya Projek: Exit dan filem terbaharu, Marvel Thunderbolts.
Kepada Kosmo! Ahad, Safiyya berkongsi cerita dan impiannya.
Kosmo! Ahad: Kongsikan tentang diri Safiyya
Saffiya: Saya peminat tegar Formula Satu (F1), jika ada masa terluang, saya akan menyertai go-kart. Aktiviti lasak dan mencabar seperti berlawan dan pengembaraan memang ‘makanan’ saya. Jika diberi peluang saya mahu berlakon dalam filem aksi (stunt).
Bagaimana mula terlibat dalam iklan komersial?
Saya terpilih membintangi iklan komersial satu jenama terkenal ketika berusia tujuh tahun, sejak itu saya mula meminati dunia seni walaupun terpaksa berehat seketika atas nasihat ibu bapa. Sekarang mereka menyokong impian saya selepas melihat kesungguhan dan bakat yang dimiliki.
Siapa pelakon yang Safiyya minati?
Saya meminati Amelia Henderson dan jika diberi peluang berlakon bersama dengannya pasti saya akan rebut.
Pengalaman mencabar yang pernah dilalui ketika berlakon?
Peluang menyertai Thunderbolts bersama Florence Pugh merupakan momen paling magis, bagaikan mimpi jadi kenyataan. Sepanjang di set di Kuala Lumpur, saya lihat produksi antarabangsa amat menitikberatkan kerahsiaan dan perincian. Dalam masa sama, saya bangga produksi tempatan juga makin maju. Dulu rasa seperti angan-angan, tapi pengalaman ini membuktikan angan-angan itu tidak mustahil untuk dikecapi.
Perancangan masa depan Safiyya?
Saya berminat dengan produksi, jenama atau mungkin aktiviti lumba. Kita tidak perlu hadkan diri selagi ada usaha, rezeki sentiasa ada.
Pesanan atau nasihat kepada golongan muda?
Jangan takut untuk mempunyai impian yang besar. Jika tidak diterima, percaya rezeki lain sentiasa ada. Usaha dan tawakal.
Selain berlakon, ada terima tawaran lain sebelum ini?
Saya pernah mendapat tawaran sebagai model jenama tempatan dan jemputan ke acara fesyen dan pelancaran kosmetik. Seronok dapat berkenalan dengan ramai orang dalam industri.
Bagaimana pula dengan pasangan hidup?
Saya sukakan lelaki yang penyayang, memahami dan ikhlas. Bonus jika kami berkongsi minat yang sama terutama muzik dan filem. Bagi saya, luangkan masa bersama dan lakukan aktiviti menyeronokkan walau sederhana tetapi amat bermakna.














