SAAT dimaklumkan tentang berita perpindahan tempat kerja ke Kuching, Sarawak, pemuda itu agak berat hati untuk menerimanya kerana sudah selesa hidup di Kuala Lumpur.
Tambahan pula, urusan perpindahan bukan sahaja melibatkan dirinya, malah keluarga dan anak-anak yang pastinya agak melecehkan.
Namun disebabkan perpindahan itu susulan kenaikan pangkat, Razak (bukan nama sebenar) terpaksa menerimanya dan menguruskan perpindahan tersebut termasuk mencari kediaman di sana.
Kongsi bapa kepada dua cahaya mata, dia mencari rumah sewa di Kuching menerusi laman sosial, Facebook.
“Saya cuba cari rumah yang agak murah di sana dan secara tidak sengaja melihat satu iklan di satu profil komuniti.
“Saya menghubungi nombor ejen pada iklan berkenaan, sebelum bersetuju menyewa sebuah rumah teres selepas melihat gambar-gambar yang dikirimkan,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Selepas semua urusan selesai, dia dan keluarga berpindah ke Kuching lebih awal untuk menguruskan keperluan di sana termasuk mengemas rumah.
Kediaman itu terletak tidak jauh dari tempat Razak bekerja.
Ujar Razak, rumah itu kelihatan seperti sudah lama tidak dihuni meskipun di kawasan perumahan berkenaan penduduknya ramai.
Tanpa berfikir panjang, dia dan keluarga memasuki rumah sebelum mengemas dan membawa masuk barang-barang.
Pada awalnya, tiada yang aneh tentang rumah tersebut, semuanya baik-baik sahaja.
Namun selepas beberapa hari tinggal di situ, Razak merasakan ada sesuatu yang aneh.
Katanya, pada setiap malam, dia sering terdengar suara seolah kanak-kanak bermain guli di atas lantai serta bola yang dibaling ke dinding.
Ada ketikanya, dia terdengar seperti ada orang memasak dan perkara itu turut disedari oleh isterinya.
“Apa yang lebih aneh, anak bongsu saya yang berumur tiga tahun juga sering berkurung dalam bilik.
“Apabila diintip, kami lihat dia seperti bercakap dengan seseorang. Namun apabila kami tegur, dia hanya diam.
“Pada waktu malam pula, dia sering keluar ke ruang tamu dan bermain berseorangan.
“Awalnya, saya merasakan itu perkara biasa kerana kanak-kanak sering berimaginasi.
“Namun lama-kelamaan, dia semakin kerap bercakap dan ketawa sendiri, seolah-olah ada orang lain bersamanya,” ujarnya.
Sehinggalah pada suatu hari, Razak secara tidak sengaja melihat anaknya duduk di hadapan bilik dengan pintu sedikit terbuka.
Selepas diperhatikan, dia terkejut melihat kelibat tangan keluar dari bilik seolah-seolah ingin menggapai tangan anaknya.
Razak terus menempik memanggil anaknya, sebelum tiba-tiba tangan tersebut terus menghilang.
Anaknya yang kebingungan dan terkejut dengan tindakan Razak terus menangis.
Susulan hal aneh tersebut, Razak kemudian mendapatkan bantuan ustaz untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di rumah sewanya itu.
Ustaz itu memberitahu, rumah Razak mempunyai penghuni lain iaitu kaum jin yang sudah lama tinggal di situ.
“Rumah itu sudah lama tidak berpenghuni sehingga menjadi sarang keluarga jin.
“Selama ini, anak saya berkomunikasi dengan anak-anak jin berkenaan.
“Ustaz itu ‘merukyah’ rumah kami dan berjaya membuatkan jin tersebut keluar.
“Alhamdulillah, kini semuanya baik-baik sahaja, namun ustaz berpesan, rumah ini perlu sentiasa diisi dengan ibadah serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran,” katanya.














