KULAI – Sekurang-kurangnya dua maut, manakala 15 lagi terselamat apabila mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 34 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Sedenak di sini malam semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila treler terbabit terbabas sebelum merempuh tiga kenderaan lain.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah treler membawa kontena, Toyota Estima, Mazda 5 dan Toyota Hilux.
“Kemalangan melibatkan 17 mangsa. Dua wanita yang menaiki Toyota Estima meninggal dunia di tempat kejadian. manakala dua lelaki dan seorang lagi wanita cedera.
“Identiti mangsa yang maut ialah Gee Yin Chin, 42, dan seorang lagi mangsa maklumat tidak diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Firdaus berkata, mangsa yang menaiki kereta Mazda 5 ialah seorang lelaki dewasa, dua wanita dan tiga kanak-kanak terselamat.
Katanya, mangsa yang menaiki Toyota Hilux pula membabitkan masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak turut terselamat.
Pemandu treler yang cedera dikejarkan ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk menerima rawatan.
Katanya, kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 12.13 tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE