JAKARTA – Seorang penunggang teksi motosikal di Medan, wilayah Sumatera Utara terkejut apabila diminta menghantar mayat bayi yang diletakkan di dalam kotak, lapor laman berita Kompas hari ini.
Pengerusi Persatuan Teksi Motosikal Dua Roda Medan dan Sekitarnya, Agam Zubir berkata, ahlinya yang bernama Yusuf Ansari, menerima pesanan daripada pelanggan bernama Rudi sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Katanya, Yusuf sempat melihat lelaki bernama Rudi itu bersama seorang wanita di hadapan sebuah pasar mini di Jalan KL Yos Sudarso.
“Yusuf menerima bungkusan kotak yang perlu dihantar kepada penerima bernama Putri.
“Setibanya di lokasi, Yusuf menghubungi nombor telefon Putri.
“Pelanggan tersebut meminta agar Yusuf meletakkan bungkusan itu di masjid, namun dia menolak sebelum Putri mematikan panggilan dan tidak tidak dihubungi,” kata Agam.
Tambahnya, Yusuf kemudian bertanyakan kepada beberapa penduduk sekitar mengenai sama ada mereka mengenali Putri, namun tiada yang mengetahui identiti wanita tersebut.
“Disebabkan itu, dia membuka kotak tersebut dan terkejut apabila mendapati ada mayat bayi di dalamnya.
“Mayat bayi itu disembunyikan dengan beberapa helai kain yang diletakkan di bahagian atas,” kata Agam.
Yusuf kemudian membuat laporan polis sebelum dia dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. – AGENSI