fbpx
Penerima Anugerah Usahanita Berdaya Maju 2024 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Zaleha sukses sebagai usahawan yang menjalankan tiga bidang perniagaan.

K2

Zaleha usahawan tiga bidang, reda ujian hidup petua kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHIDUPAN sebagai seorang usahawan memerlukan kesabaran dan ketabahan dalam mengharungi cabaran dan ujian yang mendatang.

Apa yang penting sebagai manusia biasa, perlu reda dengan segala ketentuan takdir setelah usaha yang disertai tawakal telah dilakukan sehabis daya.

Bermula dengan berniaga ikan dengan membawa sendiri lori satu tan di Bangi lebih tiga dekad lalu, kemudian menceburi bidang industri kecil sederhana (IKS) dan kini menjadi kontraktor yang membangunkan rumah bagi projek kerajaan dan persendirian, ia bukan suatu usaha yang mudah.

Menurut usahawan berjaya yang menceburi tiga bidang perniagaan berbeza itu, Zaleha Yusof, 63, dari Kampung Kanchong Darat, Banting Selangor ini, dia pernah diuji dengan kerugian sebanyak RM500,000 semasa terlibat dengan perniagaan produk IKS untuk makanan dan minuman kira-kira 15 tahun yang lalu.

“Semasa peristiwa itu berlaku, saya berada dalam keadaan ibarat kata orang jatuh terduduk kerana tidak menerima bayaran sempurna daripada pihak yang memesan produk saya.

“Kegagalan pihak tersebut membuat bayaran dan menggunakan pelbagai alasan menyebabkan saya membawa tuntutan itu ke mahkamah.

“Malangnya, kes tersebut tidak dapat diteruskan disebabkan masalah birokrasi yang menyebabkan tuntutan tersebut tertangguh hingga kini,” katanya ketika ditemui di kedainya, Persada Popcorn di Banting Baru, Kuala Langat baru-baru ini.

Mengimbau semula peristiwa itu Zaleha berkata, untuk menampung kerugian yang tidak dijangka itu, segala aset yang ada seperti rumah dan tanah telah dijual bagi memastikan hutang-hutang dengan pembekal dapat dilunaskan.

Katanya, saat itu dia yang disokong suaminya, Rosman Marmin, 65, menghadapi situasi yang sangat getir untuk mengatasi masalah yang datang satu demi satu.

“Ada satu fasa, saya membawa lori dalam keadaan fikiran melayang dari Banting menuju Klang hingga tidak sedar sudah sampai ke destinasi.

“Begitulah tekanan yang saya hadapi 15 tahun yang lalu akibat diuji dengan percaturan perniagaan yang kecundang,” ujarnya.

Namun berkat kesabaran dan sikap tidak mengalah, Zaleha kembali fokus mengusahakan tiga jenis bisnes iaitu perniagaan ‘popcorn’ (bertih jagung), menjadi kontraktor untuk projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan menjalankan bisnes logistik yang melibatkan empat buah lori seberat satu tan hingga empat tan.

Penerima Anugerah Usahanita Berdaya Maju 2024 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu berkata, sememangnya berniaga memerlukan hati yang cekal kerana menuntut usaha tanpa jemu dan tidak mudah menyerah dengan situasi yang tidak terduga.

“Semasa kita susah baru kita tahu siapa yang sanggup membantu kita yang sedang mencari bantuan kewangan.

“Alhamdulillah saya turut mendapat bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian untuk bisnes bertih jagung dan pihak Mara yang memberi geran RM5,000 bagi mendapat Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Mengulas mengenai perniagaan Persada Popcorn, Zaleha berkata, produknya itu mendapat permintaan tinggi untuk majlis perkahwinan. Ibu kepada sembilan orang cahaya mata itu memberitahu, perniagaan bertih jagung tersebut dijalankan bersama tiga orang anaknya.

“Produk yang mendapat sambutan tinggi adalah bertih jagung karamel cendawan dan ‘butterfly’.

“Selain membeli terus di kedai dan peruncit, orang ramai juga boleh mendapatkan produk ini sebagai buah tangan ketika menghadiri kenduri kahwin,” ujarnya.

Bagi mengembangkan perniagaan bertih jagung itu Zaleha berkata, dia akan meletakkan rak khas untuk makanan kegemaran kanak-kanak itu di setiap kedai runcit yang terpilih.

Jelasnya, selain sibuk menguruskan bisnes bertih jagung, dia juga menggalas tanggungjawab besar dalam perniagaan pembinaan rumah yang dijalankan di bawah entiti perniagaan Persada Watan Enterprise sejak 10 tahun lalu dengan kerjasama pihak kerajaan.

“Sebanyak 50 buah rumah RMR bernilai RM75,000 saya sudah dirikan untuk pemohon yang layak mengikut syarat-syarat yang ditentukan.

“Walaupun ada yang menganggap projek tersebut mempunyai margin untung yang rendah, bagi saya ia memberi kegembiraan kepada kerana dapat menyediakan rumah bagi golongan yang memerlukan,” katanya.

Zaleha yang turut aktif dengan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan aktiviti kebajikan umat Islam berkata, dalam kehidupan setiap insan mempunyai masa 24 jam sehari untuk menjalani urusan seharian, maka gunakan masa itu dengan bijak untuk bisnes dan amal ibadah. Aktiviti masyarakat yang disertainya melibatkan program kebajikan untuk membantu golongan asnaf atau B40 di sekitar daerah Kuala Langat.

“Sebelum ini saya terlibat dengan program komuniti bersama NGO belia dan kini saya aktif program di masjid melibatkan anak-anak kariah.

“Bisnes tetap dijalankan seperti biasa, namun hidup bermasyarakat tidak boleh diabaikan.

“Apa yang penting, keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaan kesemua perniagaan ini tetap menjadi keutamaan saya untuk diuruskan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN