KUCHING – Seorang ‘transporter’ kantoi selepas gagal melarikan diri ketika cuba menyeludup masuk lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini.
Lelaki warga tempatan bersama kesemua lelaki lelaki warga Indonesia itu ditahan oleh pasukan Unit Penguatkuasaan dan Kawalan Persempadanan (UPKP) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak baru-baru ini.
Menurut JIM Sarawak menerusi satu kenyataan, kegiatan penyeludupan manusia itu dikesan di Kampung Biawak, Lundu dengan Pati terbabit kelihatan sedang keluar dari kawasan hutan dan menaiki sebuah kenderaan yang dipandu lelaki warga tempatan itu.
“Kenderaan yang dipandu oleh lelaki tempatan itu cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa namun dengan kecekapan anggota, kenderaan tersebut berjaya dipintas dan ditahan di kawasan Batu Kawa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lima PATI tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Siasatan awal mendapati warga asing terbabit dipercayai telah membayar sejumlah wang antara RM400 hingga RM500 setiap seorang kepada sindiket penyeludupan untuk dihantar ke sekitar bandar raya ini.
“Sindiket tersebut dipercayai menggunakan laluan tidak sah melalui kawasan hutan bagi mengelak daripada pemeriksaan dan kawalan di pintu masuk yang diwartakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE