fbpx
RUSHDI ketika membentangkan laporan pasaran teknologi tinggi produk tempatan ke pasaran antarabangsa pada Majlis Laporan Teknologi Tinggi Malaysia di MIGHT Partnership Hub, Cyberjaya baru-baru ini.

K2

Malaysia pengeksport teknologi tinggi di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

STIGMA negatif tentang negara tidak mampu berdaya saing dalam dunia teknologi nyata meleset, apabila Malaysia berjaya membuktikan kemampuan sebagai negara ketiga di Asia Tenggara bagi pengeksportan barangan teknologi tinggi di pasaran dunia. 

Peratusan eksport teknologi tinggi Malaysia turut mencatat peningkatan sebanyak enam peratus, daripada 52.48 peratus pada 2022 kepada 58.69 peratus pada 2023. 

Negara turut merekodkan lebihan dagangan tertinggi dalam tempoh sedekad berjumlah AS$1.5 bilion (RM7.05 bilion) sekali gus mencatatkan rekod lebihan dagangan tertinggi dalam tempoh yang sama. 

Dalam pada itu, eksport barangan teknologi tinggi Malaysia ke peringkat global menunjukkan peningkatan sebanyak 3.32 peratus dengan nilai eksport daripada AS$125 bilion (RM558 bilion) kepada AS$127 bilion (RM565.2 bilion).

Pertumbuhan ini berlaku dalam konteks peningkatan global sebanyak AS$80 bilion (RM357.36 bilion), menjadikan jumlah keseluruhan eksport teknologi tinggi dunia mencecah AS$3.83 trilion (RM17.1 trilion) pada 2023. 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Rushdi Abdul Rahim, kumpulan produk elektronik telekomunikasi kekal sebagai penyumbang utama dengan AS$36 bilion (RM160.85 bilion) atau 80.58 peratus daripada jumlah eksport barangan teknologi tinggi dalam subkumpulan barangan. 

“Terdapat sembilan subkumpulan produk termasuk elektronik telekomunikasi yang dipasarkan ke luar negara yang berpotensi besar untuk pertumbuhan dalam kategori lain seperti peralatan saintifik, mesin pejabat komputer, jentera elektrik dan aeroangkasa. 

“Semua produk ini mampu memberi daya saing dengan syarat mendapat sokongan daripada ekosistem inovasi yang kukuh dan strategi penembusan pasaran yang berkesan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Laporan Teknologi Tinggi Malaysia di MIGHT Partnership Hub, Cyberjaya baru-baru ini. 

MALAYSIA berjaya membuktikan kemampuan sebagai negara ketiga di Asia Tenggara bagi pengeksportan barangan teknologi tinggi di pasaran dunia.

Tambahnya, beberapa kumpulan produk lain yang berpotensi besar ialah mesin elektrik, mesin bukan elektrik, kimia, farmasi dan pertahanan. 

Kejayaan ini secara tidak langsung menepati sasaran Kerajaan Madani yang komited untuk memperluas dan memperkukuhkan ekosistem inovasi negara demi menjamin daya saing berterusan dalam semua aspek pembangunan terutamanya membabitkan sektor teknologi tinggi.

Dalam pada itu Rushdi turut memberitahu, negara berada di posisi kesembilan di belakang China, Hong Kong, Taiwan, Jerman, Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan dan Vietnam dalam senarai 15 negara eksport barangan teknologi tinggi di pasaran global. 

“Negara mempamerkan reaksi positif apabila berjaya meningkat dari kedudukan ke-10 pada 2021 ke posisi kesembilan (2022). Biarpun mengekalkan kedudukan sama pada 2023 tetapi Malaysia berada di hadapan beberapa negara maju lain seperti Perancis, Jepun, Belanda, Switzerland, Ireland dan United Kingdom.

“Walaupun mencatatkan sebanyak 3.32 peratus, tidak mustahil dengan adanya kemahiran dan kemajuan dalam teknologi tinggi membuatkan Malaysia mampu menjadi negara Asia Tenggara pertama menewaskan Singapura (5.15 peratus) dan Vietnam (3.54 peratus) pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan negara dalam pasaran produk teknologi tinggi ke pasaran global secara tidak langsung menjadi aspirasi untuk menjadikan produk berasaskan teknologi sebagai ekonomi berpendapatan tinggi negara. 

Di samping itu, ekosistem inovasi yang dinamik juga akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan negara dalam mencapai kedaulatan teknologi demi memastikan Malaysia bukan sahaja mampu menggunakan peralatan teknologi canggih tetapi turut berkemampuan untuk menguasai dan mengawal teknologi strategik serantau. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN