fbpx

351 jemaah haji kumpulan pertama Andalusia berlepas ke Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md Daud bersalaman dengan jemaah kumpulan pertama haji Andalusia KT011B yang akan berangkat ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

SEPANG – Seramai 351 jemaah haji kumpulan pertama kendalian Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) selamat berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu hari ini.

Kesemua jemaah yang berlepas menerusi pesawat Saudia Airlines kira-kira pukul 6 pagi tadi merupakan sebahagian daripada 570 jemaah yang akan dikendalikan Andalusia musim ini dengan melibatkan beberapa penerbangan.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, kesemua jemaah bagi kumpulan pertama itu akan tiba di Madinah dahulu sebelum berangkat ke Mekah bagi melengkapkan ibadah haji.

“Kumpulan pertama ini agak istimewa kerana mereka akan berada di Madinah dahulu yang mana ketika ini keadaan di sana kurang sibuk dan tidak terlalu ramai orang.

“Jadi, peluang jemaah untuk memasuki Raudah lebih mudah dan kurang sesak selain berkemungkinan mendapat layanan baik daripada pihak Arab Saudi.

“Ini kerana pihak Arab Saudi sering memberikan tumpuan istimewa kepada jemaah Malaysia, jadi bila berada di Madinah dan Raudah, kita mungkin dilayan lebih baik,” katanya kepada pemberita di Hotel Movenpick di sini hari ini.

Terdahulu, Md. Daud turut menyantuni kumpulan pertama jemaah haji Andalusia yang mendaftar masuk di di Hotel Movenpick sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Md. Daud juga menasihatkan jemaah haji agar tidak meragui perkhidmatan bakal ditawarkan Andalusia berikutan syarikat itu sentiasa dipantau Tabung Haji (TH).

“Kami mempunyai sistem merit dan dimerit, kalau perkhidmatan baik, akan dapat merit daripada TH, jika sebaliknya, kami akan didenda dan visa mungkin tidak dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya jaminan perkhidmatan bakal ditawarkan Andalusia, Md. Daud berkata, kecemerlangan dipamerkan sejak 2007 menyebabkan keyakinan jemaah terus meningkat.

“Kita telah urus jemaah dengan baik sejak 2007 selain menawarkan makan minum, penginapan, pengangkutan dan kerja kebajikan yang baik bagi memastikan ibadah haji jemaah sempurna.

“Jadi, kami rasa itu jaminan yang diberikan Andalusia kepada jemaah bagi memastikan nama baik syarikat terus dipelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI