fbpx
Mendiang Yu Zie ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah van sekolah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru kelmarin.

Insiden van sekolah: ‘Pihak tadika pun cuai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Perasaan sedih bercampur kecewa dirasai seorang bapa sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tragis yang menimpa anaknya yang ditemui mati akibat ‘terperangkap’ selama kira-kira lima jam di dalam van sekolah di Taman Bukit Indah di sini kelmarin.

Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang sukar diterima, Teo Jia, 37, turut melahirkan kekesalan dengan sikap cuai pemandu serta pihak pengurusan pusat asuhan sehingga mengakibatkan dia kehilangan satu-satunya anak yang ada.

Teo yang bekerja di Singapura berkata, kejadian yang menimpa anaknya, Yu Zie, 5, hanya diketahui kira-kira pukul 1 tengah hari kelmarin selepas guru tadika menghubungi dan menyuruhnya ke hospital.

“Cikgu call suruh saya dan isteri datang segera ke hospital swasta berdekatan rumah sebab anak dalam kecemasan.

“Apabila sampai, saya te­ngok anak sudah terbaring kaku dan lemah tidak bernafas. Doktor cakap mereka sudah sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa anak saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Teo berkata, sebelum kejadian itu, anaknya telah dijemput pemandu van berusia 57 tahun di kediamannya di Taman Bukit Indah kira-kira pukul 7.15 pagi.

Katanya, pada kebiasaannya van sekolah akan tiba di tadika yang terletak di Jalan Indah 10/13, Taman Bukit Indah di sini kira-kira pukul 8.15 pagi.
Jarak kediaman rumah mangsa dengan tadika adalah kira-kira dua kilometer.

“Apa yang saya tahu, pemandu van biasanya akan turunkan budak-budak untuk masuk sekolah dan akan tinggalkan van berhampiran tadika sebelum pulang ke rumah dengan menunggang motosikal.

“Mungkin anak saya tertidur ketika itu, pemandu van juga mungkin tidak menyedarinya. Dalam pukul 12 tengah hari, baru mereka jumpa anak sudah tidak bernyawa di bahagian pintu van dan kemungkinan dia cuba keluar tetapi tidak dapat,” katanya.

Menurut Teo lagi, dia sangat kecewa dengan kecuaian pihak terlibat dan mengakui kejadian tersebut boleh dielak jika langkah keselamatan diambil terma­suk memeriksa van berkenaan.

“Sepatutnya pemandu van periksa betul-betul dan pastikan budak-budak semua turun baru boleh tutup atau balik.

“Pihak tadika juga cuai, mereka sepatutnya semak kehadiran, sama ada budak datang atau tidak. Jika tiada, hubungi keluarga tanya anak dekat mana,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dia telah menghantar anaknya ke tadika berkenaan sejak tiga tahun lalu ketika mangsa masih berusia dua tahun.

Katanya, dua tahun sebelum ini, dia atau isterinya akan menghantar sendiri Yu Zie ke tadika, namun sejak pertengahan tahun lepas, dia menggunakan perkhidmatan van sekolah.

“Saya hanya berharap pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas apa yang berlaku.

“Kita tidak mahu kejadian sebegini menimpa anak-anak orang lain,” katanya yang memaklumkan mendiang Yu Zie akan dikebumikan di Nirvana Memorial Park Christian Kong Kong, Masai, Pasir Gudang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam van sekolah kira-kira pukul 12 tengah hari dipercayai selepas hampir lima jam terperangkap.

Katanya, mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah di sini, dikatakan menaiki van dari kediaman keluarga sebelum sampai di hadapan tadika kira-kira pukul 7.30 pagi hari yang sama.

“Mangsa dipercayai tertinggal selepas pemandu van menurunkan kanak-kanak lain di hadapan tadika pada pukul 7.30 pagi.

“Mangsa bagaimanapun ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kumarasan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.

Jelasnya, susulan kejadian itu, polis menahan pemandu van berusia 56 tahun kira-kira pukul 2.40 petang di kawasan Taman Bukit Indah.

Katanya, semakan rekod ke atas lelaki warga tempatan itu mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau serta negatif penyalahgunaan dadah.

Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kesalahan pengabaian dengan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN