fbpx
Mohammad Asraf adha sudah dibenarkan keluar hospital selepas keadaannya semakin pulih. Gambar kecil keadaan kereta Honda Jazz selepas merempuhnya.

Mangsa terselamat nahas Senawang menangis setiap malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Remaja yang terselamat dalam kemalangan hingga meragut nyawa abang dan dua rakannya di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini, pada 6 Mac lalu bukan sahaja belum sembuh sepenuhnya, malah mena­ngis setiap malam kerana trauma dengan kejadian itu.

Mohammad Asraf Adha Mohd. Hisham, 14, yang sudah dibenarkan keluar Hospital Tuanku Ja’afar dikatakan terlalu merindui abangnya, Mohammad Aidil Ramdan, 15.

Ibunya, Haslinda Jupri, 44, berkata, dua beradik itu rapat dan sering keluar bersama.

Katanya, si adik akan mena­ngis bila melihat gambar atau video arwah di galeri telefon bimbit pada setiap malam.

“Saya sentiasa ada di sisinya menjaganya di hospital sebelum ini. Ada kala dia okey tetapi selalunya akan menangis bila lihat TikTok abang­nya.

“Saya harap ada keadilan buat mangsa kemalangan lebih-lebih lagi saya telah kehilangan anak harapan keluarga dan disayangi,” katanya kepada Kosmo!.

Selain Mohammad Aidil Ramdan, kejadian pada pukul 8.30 malam itu turut mengakibatkan Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17, maut.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang dua buah motosikal dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1.

Menurut Haslinda, walaupun sudah dibenarkan keluar hospital, anaknya masih perlu menjalani rawatan susulan.

Tambahnya, dia juga masih belum boleh bekerja kerana menjaga anaknya kerana perlu mendapatkan rawatan membersihkan luka dan menukar balutan.

“Majikan pun dah bertanya bila saya nak masuk kerja tapi saya tak dapat nak beri jawapan kerana anak perlu dressing setiap hari,” katanya.

Tertuduh sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini 22 April lalu dan kes itu masih dalam proses perbicaraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN