PUTRAJAYA- Kerajaan bersetuju menamatkan kawalan harga telur ayam dan mengurangkan subsidi bahan mentah itu sebanyak 50 peratus mulai esok sebelum pemberian subsidi ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
Dalam konteks ini, kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei selaras pendekatan penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.
Susulan itu, langkah-langkah intervensi dilaksanakan antaranya pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran stabil.
“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.
“Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran.
“Ia berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPKM berkata, kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah satu tindakan tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
Selain itu, katanya, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. – KOSMO! ONLINE