MERANCANG perjalanan boleh menjadi satu proses mencabar kerana perlu mengambil kira pelbagai perkara penting seperti pengangkutan, tempat penginapan dan aktiviti yang ingin dilakukan.
Membuat perancangan secara manual dikhuatiri akan mengambil masa yang lama kerana pengembara perlu mengatur perincian perjalanan dan mengelakkan daripada berlakunya kesilapan.
Ketinggalan pesawat boleh menjadi peristiwa yang menakutkan dan merugikan. Justeru, aplikasi Triplt menjadi antara solusi yang dapat membantu pengguna merancang perjalanan dengan baik.
Dalam pada itu, aplikasi perancangan perjalanan Triplt memberi tumpuan kepada perancangan perjalanan yang lebih terperinci, termasuk aktiviti dan destinasi menarik.
Triplt merupakan kemudahan digital yang dapat membantu pengembara mengatur semua perincian perjalanan dalam satu masa. Dengan lebih 16 juta pengguna dari seluruh dunia, Triplt telah menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin memastikan perjalanan berjalan lancar dan teratur.
Menurut penganalisis aplikasi, Jackson Walker, Triplt memberikan kelebihan kepada pengguna untuk akses tanpa talian internet di samping menyediakan jadual perjalanan yang mudah difahami.
“Pengurusan itinerari boleh dibuat secara automatik bermula dengan mengumpul maklumat tempahan dari e-mel termasuk penerbangan, hotel dan kereta sewa. Semua data ini akan disusun secara teratur menjadi satu itinerari yang mudah diakses.

“Itinenari yang ada juga boleh diakses tanpa sambungan internet. Ini dapat membantu pengembara memberi tumpuan kepada perjalanan mereka tanpa rasa bimbang sekiranya tidak mendapat liputan internet dengan baik.
“Triplt juga menyediakan peta perjalanan dan pilihan pengangkutan antara lokasi agar dapat membantu pengembara merancang perjalan dengan lebih efisien di samping menyediakan maklumat terkini tentang perubahan penerbangan, perubahan pintu atau kelewatan penerbangan,” katanya.
Platform digital itu menawarkan dua jenis penggunaan iaitu percuma dan pro dengan kadar bayaran AS$49 (RM225) setahun.
Menerusi langganan itu, pengguna dapat menikmati kelebihan ciri tambahan seperti pemberitahuan penerbangan masa nyata, pemantauan harga tambang dan panduan lapangan terbang interaktif. Berbeza dengan ciri premium, versi percuma pula hanya menawarkan fungsi asas iaitu penyusunan jadual perjalanan.
Oleh itu, bagi mereka yang ingin pengalaman merancang perjalanan dengan lebih baik dan dapat menggunakan pelbagai fungsi dalam aplikasi, langgaran kepada versi pro amat digalakkan.
Sementara itu, kedua-dua fungsi sama ada percuma atau pro tetap memerlukan had muat naik dokumen perjalanan bagi memudahkan Triplt untuk melakukan analisis sekali gus membantu menyediakan itinerari.
Aplikasi ini sesuai untuk pengembara yang sering mengembara dan mempunyai banyak perjalanan pada masa sama sekali gus mengelakkan kekeliruan kerana banyak perkara perlu diambil kira.
Terdapat lagi beberapa kelebihan lain yang akan diperoleh pengguna iaitu membantu pengembara mencari tempat duduk terbaik dalam pesawat dan dapat berkongsi secara automatik ringkasan perjalanan dengan pengguna Triplt lain.














