JAKARTA – Sebuah sekolah menengah di wilayah Jawa Timur, Indonesia mengundang perhatian ramai kerana mengadakan ujian praktikal perkahwinan yang menyerupai majlis resepsi sebenar, lapor portal berita Abatanews semalam.
Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Atas Negeri 1 Lumbung di bandar Pasuruan.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @fakta.indo memaparkan seorang pelajar perempuan mengenakan baju kebaya dan perhiasan untuk kelihatan seperti pengantin.
Pelajar lelaki yang berperanan sebagai ‘calon suami’ pula memakai baju warna sama dengan gadis itu.
Mereka kemudian duduk di atas kerusi sebelum proses akad nikah berlangsung.
Bahkan, dewan sekolah itu dilengkapi dengan pelamin, kerusi dan meja yang dihadiri oleh pelajar lain serta guru-guru.
Rakaman itu menjadi tular dan mencetuskan perdebatan hangat di ruang komen.
“Apa manfaat daripada latihan ini? Lebih baik buat praktikal menguruskan jenazah,” kata seorang netizen.
“Negara lain buat praktikal sains, rakyat Indonesia buat praktikal nikah,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI