HULU SELANGOR – Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, pemandu Proton Satria berusia 23 tahun disahkan maut di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata siasatan mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Gombak menuju ke rumahnya di Bukit Beruntung.
“Apabila tiba di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Proton Iriz dari arah bertentangan masuk laluannyq dan bertembung dengan Proton Satria.
“Akibat dari pertembungan itu, pemandu Proton Satria disahkan maut di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Asri berkata pemandu Proton Iriz yang berusia 29 tahun pula dibawa ke zon merah Hospital Selayang kerana mengalami kecederaan dalaman.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE