fbpx
Mangsa ditutup kain putih selepas ditikam hingga mati di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam semalam. – Saddam Yusoff

Suspek tikam peminta sedekah selepas dihalau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Angkara berebut tempat meminta sedekah, seorang pengemis tergamak menikam pengemis lain hingga mati di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di sini kelmarin.

Pertelingkahan antara dua pengemis terbabit telah berlaku sehari sebelum kejadian dan berlarutan sehingga membawa kepada pertumpahan darah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun yang sudah berkahwin mati di tempat kejadian akibat ditikam bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 28 tahun.

Mangsa tidak memiliki kad orang kurang upaya (OKU), nakun kaki kanannya patah akibat kemala­ngan jalan raya tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, suspek lelaki merupakan pengemis baharu di hadapan bank berkenaan.

Katanya, berlaku salah faham apabila suspek mendakwa mang­sa telah menghalaunya supaya mengemis di kawasan lain.

Difahamkan, mangsa telah meminta sedekah di lokasi tersebut sejak setahun lalu.

“Perselisihan faham itu menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka sehari sebelum kejadian itu.

“Ia kemudian meleret pada hari kejadian dengan berlakunya pertengkaran mulut antara mereka sebelum suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada mangsa beberapa kali.

“Tikaman itu menyebabkan mangsa jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia. Mang­sa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman televi­syen litar tertutup (CCTV) dan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, setakat ini motif kejadian adalah berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah.

“Suspek telah berjaya ditahan pada pukul 12.30 tengah hari semalam (kelmarin) di lokasi kejadian.

“Semakan mendapati suspek ada sembilan rekod jenayah lampau dan lelaki itu juga mempu­nyai kad OKU lembam,” katanya.

Suspek kini dirawat di Hospital Shah Alam di sini akibat sawan. Majistret telah membenarkan permohonan reman terhadap lelaki itu selama tujuh hari bermula semalam.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah berkata, mangsa sering kali dilihat berada di hadapan bank itu bermula waktu tengah hari hingga malam.

“Dia datang ke sini untuk meminta sedekah, namun tidak pernah melihatnya memaksa orang memberi wang, malah dia akan bayar makanan yang diambil di kedai saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN