fbpx
AIZUDDIN memeriksa biji kopi yang dipanggang untuk menjaga kualiti sebelum dijual kepada pelanggan. – FARIZ RUSADIO

Saudagar kopi arabica

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARUMAN kopi menusuk ke bahagian rongga hidung sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke sebuah ruang di dalam premis yang terletak Bandar Baru Bangi, Selangor.

Di ruang itu kelihatan seorang pemuda sedang memasukkan biji kopi yang telah dipilihnya ke dalam sebuah mesin khas untuk dipanggang.

“Inilah rutin harian saya bersama pekerja di sini. Kami akan memanggang biji-biji kopi bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Biji kopi ini perlu melalui proses memanggang bagi mengeluarkan aroma dan cita rasa yang tersendiri sebelum diminum,” jelas Aizuddin Manap, 33, yang merupakan pemilik jenama kopi Blend Coffe Roasters.

Aizuddin menambah, suhu yang digunakan untuk memanggang biji kopi juga berbeza bagi memberikan rasa yang berlainan.

Kebiasaannya suhu yang digunakan adalah antara 214 hingga 224 darjah Celsius bergantung kepada kopi dan apa yang ingin ditonjolkan kepada peminum.

“Untuk memanggang kopi, ia mempunyai resipinya tersendiri. Jika kita hendak kekalkan rasanya, ia dipanggang dengan suhu yang lebih rendah dan begitu juga sebaliknya.

“Kebiasaannya masa yang diperlukan untuk memanggang kopi tidaklah terlalu lama hanya sekitar 10 minit sahaja,” jelasnya.

Setiap hari dia akan memanggang sehingga 70 kilogram (kg) kopi.

AIZUDDIN mengambil biji kopi yang disimpan di dalam bilik khas bagi mengekalkan kelembapan bijinya.

 

Biji kopi yang dipanggang dan dijual oleh Aizuddin adalah jenis arabica.

Kopi arabica juga memiliki kadar kafien yang rendah dan pokoknya hanya boleh hidup di kawasan tanah tinggi.

“Di Malaysia, kopi arabica ini tidak ditanam secara komersial atau besar-besaran.

“Kebiasaannya pokok kopi yang ditanam di Malaysia adalah jenis robusta dan rasanya lebih pahit. Arabica ini juga mempunyai rasa berbeza mengikut negara pengeluar. Jika dari Indonesia, rasanya lebih keras, manakala dari Brazil pula rasanya tidak terlalu pahit dan lebih santai.

Biji kopi jenis arabica yang dipanggang dan dijual oleh Aizuddin datang dari pelbagai negara antaranya Brazil, Indonesia, Vietnam, Ethiopia, Guatemala, Rwanda dan lain-lain lagi.

Biiji kopi arabica yang tiba di kedainya akan disimpan di dalam bilik khas yang mempunyai suhu sekitar 20 darjah Celsius bagi memastikan kesegarannya.

“Dalam biji kopi mengandungi air dan kita tidak mahu bijian ini cepat kering dan sebab itu perlu disimpan di dalam bilik khas.

“Ia akan dikeluarkan apabila akan melalui proses untuk memanggang. Proses memanggang bertujuan untuk membuang air di dalam biji kopi tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, dia tidak menyimpan terlalu lama biji-biji kopi arabica daripada pelbagai negara yang diterimanya itu bagi menjamin kesegarannya.

Selalunya biji kopi yang diterima akan dipanggang dan kemudian dijual dengan segera kepada pengguna.

SEORANG pekerja menyiapkan tempahan kopi pelanggan.

Dalam pada itu, arabica dianggap kopi yang bernilai tinggi dan rasanya berbeza mengikut negara pengeluar.

Maka tidak hairanlah ada biji kopi arabica ini mencecah harga sehingga RM25,000 sekilogram untuk gred yang bagus.

Biji kopi arabica yang dibeli oleh Aizuddin untuk dipanggang dan dijual semula adalah pada harga antara RM2,000 hingga RM4,000 untuk satu guni yang memilik berat sekitar 60 kg hingga 70 kg.

Setelah biji kopi tersebut dipanggang, ia dijual semula pada harga RM20 hingga RM50 bagi setiap 200 gram mengikut gred dan keunikan rasa kopi.

Keunikan rasa kopi juga kadangkala membuatkan harga kopi mentah menjadi mahal dan Aizuddin perlu menjualnya pada harga lebih tinggi.

Aizuddin menjelaskan, untuk mendapat kopi yang sempurna dari segi rasa bukan mudah dan ada cabaran tersendiri.

Menurutnya, dia banyak mencuba bagi membolehkan kopi yang di panggang olehnya boleh diterima pengguna.

“Pada awal-awal penglibatan menjual biji kopi yang telah dipanggang ini, banyak juga biji kopi yang terpaksa saya buang kerana tidak menjadi.

“Rasa putus asa juga hadir pada ketika itu apabila mesin yang digunakan untuk memanggang kopi yang saya beli turut rosak dan tidak berfungsi,” tegasnya.

Namun lama kelamaan, dia belajar daripada kesilapan dan akhirnya berjaya memanggang biji kopi dengan sempurna dari segi rasanya.

AIZUDDIN melihat laman sesawang yang dibina bagi memudahkan para pembeli.

Dalam pada itu, Aizuddin yang memilki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjelaskan, penglibatannya dalam menjual kopi bermula pada tahun 2015.

Pada ketika itu, dia membuka gerai di tepi jalan dan menjual kopi Vietnam kerana dalam masa yang sama, Aizuddin memang seorang yang gemar berniaga.

“Pada tahun 2015, saya lihat ada satu tren banyak kopi dijual di jalanan dalam gelas besar.

“Dari situ, saya juga mendapat ilham untuk turut serta menjual kopi dan untuk mencari kelainan dengan peniaga lain dan saya menjual kopi Vietnam,” jelasnya.

Pada ketika itu, dia mendapatkan kopi Vietnam dan memanggangnya sendiri di rumah sebelum menjualnya.

Melihat sambutan yang diterima amat baik sekali, pada 2019 Aizuddin terus bergerak ke hadapan menjadi saudagar kopi dengan menjual biji kopi yang telah dipanggang dan membuka sebuah kedai kopi di Sungai Ramal, Kajang, Selangor.

Kini, setelah hampir lima tahun terlibat dalam perniagaan penjualan biji kopi Aizuddin menegaskan, sambutan yang diterima amat baik sekali terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Menurutnya, ramai antara rakyat Malaysia mula menerima kopi arabica.

“Di laman sosial Facebook terdapat lebih 57,000 orang menyertai kumpulan yang dinamakan sebagai Peminat Kopi.

“Dalam kumpulan ini, mereka berkongsi pengetahuan dan minat yang sama berkaitan kopi,” jelasnya.

Dalam pada itu, dalam memasarkan produk biji kopi, Aizuddin menggunakan platform e-dagang serta dia juga turut membangunkan laman web yang tersendiri untuk tujuan memasarkan kopi yang dikeluarkannya.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu juga melonjakkan jualan biji kopi yang dikeluarkannya.

“Bulan pertama sewaktu PKP dilaksanakan kami telah menjual sehingga dua tan biji kopi jenis arabica ini.

“Saya boleh menyatakan melalui PKP ini peminat kopi juga mula mengenali produk kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN