KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang berjaya mengutip sebanyak RM1,437,142.90 hasil penalti daripada pelucuthakkan hak milik tanah menerusi proses di bawah Seksyen 130 Kanun Tanah Negara setakat ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejumlah 1,082 hak milik tanah di seluruh negeri telah dirampas atau dilucuthakkan susulan kegagalan pemilik mematuhi syarat pemilikan, termasuk tidak menjelaskan cukai tanah.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 838 pemilik tanah gagal mendapatkan semula hak milik masing-masing kerana tidak mengemukakan permohonan pembatalan pelucuthakan.
“Bukan sahaja kerana mengusahakan tanah secara tidak sah seperti pembalakan dan perlombongan haram, tetapi jika gagal menjelaskan cukai tanah juga kita akan rampas.
“Prosedurnya jelas, kita keluarkan notis 6A dahulu untuk memberi peluang melunaskan tunggakan dan sekiranya masih gagal barulah notis 8A dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Mengulas mengenai peluang rayuan pemilik tanah yang telah dilucuthakkan, Wan Rosdy menjelaskan, mereka masih boleh mengemukakan rayuan sama ada melalui mahkamah atau terus kepada pentadbir tanah dalam tempoh tiga bulan selepas notis 8A dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE