DUNIA kini menyaksikan revolusi dalam teknologi pengangkutan melalui pembangunan dron penumpang atau passenger drones.
Dahulu, dron hanya digunakan untuk fotografi, pemantauan dan penghantaran barang.
Namun kini, ia telah diperkembangkan untuk membawa manusia dari satu tempat ke satu tempat.
Ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam sistem mobiliti bandar dan luar bandar.
Jadi, dron penumpang berpotensi besar untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, mengurangkan pelepasan karbon dan mempercepatkan perjalanan jarak dekat atau sederhana, khususnya di kawasan padat serta sukar dicapai.
Dalam industri dron penumpang, antara syarikat yang menjadi peneraju ialah LIFT Aircraft (LIFT) dari Amerika Syarikat.

Menurut pengasasnya, Matt Chasen, dron penumpang membuka era baharu dan merupakan masa depan kepada dunia pengangkutan.
“Dron telah berkembang sebagai medium pengangkutan udara dan jangkauannya sudah semakin luas, selain mampu mengangkat beban lebih berat.
“Situasi ini memberi memberi idea kepada penciptaan dron untuk membawa manusia.
“Ini mendorong kepada kewujudan eVTOL (electric Vertical Take-Off and Landing) sebagai langkah pertama kenderaan terbang untuk membawa manusia,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.
Tambah Chasen, pihaknya telah membangunkan HEXA iaitu sebuah eVTOL satu tempat duduk yang boleh diterbangkan oleh orang biasa tanpa mempunyai lesen juruterbang.
Hal ini kerana ia diklasifikasikan sebagai ultralight aircraft di bawah peraturan Federal Aviation Administration (FAA).
Katanya lagi, HEXA mempunyai 18 rotor, payung terjun kecemasan dan sistem kawalan mudah bagi membolehkan pengguna menerbangkannya dengan latihan minimum.
LIFT juga telah menjalankan sesi ‘terbang dan alami’ di beberapa bandar di dunia sebagai sebahagian daripada strategi untuk memperkenalkan HEXA kepada orang awam.
DRON penumpang merupakan sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang direka untuk membawa satu atau lebih penumpang secara automatik dan semi automatik.
Dalam erti kata lain, sebuah eVTOL yang membolehkan ia berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter, tetapi beroperasi menggunakan kuasa elektrik.
Berbeza dengan helikopter konvensional, dron penumpang biasanya lebih kecil, ringan dan senyap.

Ia juga direka untuk operasi lebih selamat melalui sistem kawalan berkomputer serta pelbagai rotor berfungsi secara serentak.
Dengan kemajuan dalam bateri litium ion, sistem kawalan penerbangan pintar dan integrasi kecerdasan buatan (AI), penggunaan dron penumpang menjadi semakin praktikal.
Menurut Chasen, potensi dron penumpang sangat luas, di mana ia boleh dijadikan teksi udara sebagai solusi bagi memendekkan masa perjalanan yang biasanya memakan masa berjam-jam.
“Kenderaan ini juga boleh digunakan sebagai perkhidmatan kecemasan untuk membantu dalam evakuasi dan penghantaran peralatan perubatan di kawasan bencana atau sukar diakses.
“Selain itu, ia boleh menjadi aset kepada pelancongan dalam konteks memberi pengalaman penerbangan unik kepada pelancong serta pengguna yang ingin terbang sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, eVTOL juga berpotensi menjadi alat pengangkutan antara pulau atau kawasan luar bandar, selain boleh digunakan bagi perjalanan ke kawasan terpencil.
Namun begitu, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu diatasi untuk pelaksanaan kenderaan eVTOL.
Antaranya dari aspek keselamatan, peraturan penerbangan, infrastruktur sokongan (stesen pengecasan dan lokasi pendaratan) serta penerimaan masyarakat terhadap teknologi baharu itu.
Dalam aspek teknologi pula, eVTOL menggunakan motor elektrik dan rotor berganda antara empat hingga 18 untuk menghasilkan daya angkat serta kawalan.
Kenderaan itu lebih mesra alam kerana menggunakan tenaga bersih.

Ini bermaksud, tiada pembakaran bahan api fosil, lebih senyap berbanding helikopter dan mudah dikawal kerana motor boleh diselaraskan dengan sangat lancar.
Dron berkenaan dikuasakan dengan bateri berkapasiti tinggi seperti bateri litium ion.
Namun difahamkan, terdapat beberapa syarikat lain sedang menguji bateri solid-state atau hybrid fuel cell.
Di bahagian pemanduan, eVTOL dikawal oleh komputer penerbangan, sama seperti jet moden yang mempunyai kawalan automatik atau semi automatik, komputer analisis data, sistem navigasi dan joystick untuk kawalan.
Sementara itu, struktur eVTOL diperbuat daripada bahan komposit gentian karbon, sekali gus menjadikannya lebih ringan tetapi kukuh bagi memberi kecekapan tenaga dan lebih mudah terapung di udara.
Ia juga dilengkapi dengan pelbagai sensor untuk keselamatan seperti LIDAR, radar dan kamera optik yang berupaya mengelak pelanggaran (obstacle avoidance), memantau cuaca, ketinggian serta kelajuan.
“eVTOL juga dilengkapi dengan sistem navigasi, GLONASS dan AI untuk pengurusan trafik udara serta membantu membuat keputusan dalam masa nyata.
“Pada masa hadapan, eVTOL juga boleh berkomunikasi antara satu sama lain untuk mengelak berlaku pelanggaran,” kongsi Chasen.
Ujarnya, terdapat juga ciri keselamatan tambahan seperti parasut balistik untuk pendaratan kecemasan, sistem pelampung air untuk model yang boleh mendarat di air seperti HEXA.
Ia juga dilengkapi dengan sistem redundansi kuasa, di mana jika satu motor gagal, motor lain boleh terus berfungsi.
Selain LIFT, terdapat juga syarikat lain yang membangunkan dron penumpang, antaranya dari China dan Jerman.
Di China, EHang merupakan syarikat pertama yang memperkenalkan konsep dron penumpang secara komersial melalui model EHang 216.
Ia adalah eVTOL dua tempat duduk yang mampu terbang secara autonomi. Dron itu dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga elektrik dan dilengkapi dengan 16 rotor.
EHang telah menjalankan ratusan ujian penerbangan termasuk membawa penumpang sebenar di bandar-bandar seperti Guangzhou dan Seoul, Korea Selatan.
Dalam pada itu, sebuah syarikat dari Jerman, Volocopter telah mengembangkan Volocity iaitu sebuah eVTOL yang direka khas untuk perkhidmatan teksi udara di bandar-bandar besar.
Ia mempunyai 18 rotor elektrik dan mampu membawa dua penumpang pada satu-satu masa. Syarikat itu dijangka melancarkan operasi komersial pada pertengahan dekad ini.
LIFT juga mempunyai pesaing dari AS iaitu Joby Aviation yang berpusat di California. Syarikat itu telah membangunkan sebuah eVTOL empat tempat duduk yang mampu terbang sejauh 240 kilometer dengan sekali cas dan kelajuan sekitar 300 kilometer sejam.
Syarikat itu dijangka melancarkan eVTOL secara komersial seawal tahun ini.














