MANCHESTER – Aksi hambar Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berterusan selepas tewas 0-1 kepada Wolverhampton Wanderers pada pertemuan di Old Trafford malam kelmarin.
Gol tunggal perlawanan menerusi sepakan percuma Pablo Sarabia pada minit ke-77 menyaksikan United terus kempunan untuk mencatat kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut bagi aksi liga.
Pengurus United, Ruben Amorim menyuarakan rasa kecewa atas kekalahan itu memandangkan skuad kendaliannya menampilkan aksi jauh lebih baik berbanding pasukan pelawat apabila menguasai 60 peratus perlawanan.
“Jika anda melihat perlawanan hari ini (kelmarin), kami merupakan pasukan yang lebih baik tetapi ia tidak membawa sebarang makna jika ia berakhir dengan kekalahan. Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya.
“Kami juga banyak menghalang gerakan-gerakan berbahaya dilakukan pasukan lawan tetapi dengan hanya satu set-piece, ia mengubah keputusan perlawanan. Bagi saya, ia sangat mengecewakan,” katanya.
Dalam pada itu, penyerang United, Rasmus Hojlund terus menjadi sasaran cemuhan peminat apabila terus bergelut untuk menghasilkan gol buat skuad The Red Devils sehingga ada yang mendesak supaya dia dijual.
“Pada perlawanan hari ini (kelmarin), ramai pemain yang mensia-siakan peluang terhidang, bukan hanya Rasmus (Hojlund). Saya tahu tugasnya untuk menjaringkan gol tetapi tidak patut kesalahan ini hanya ditujukan kepadanya,” ujar Amorim. – AGENSI