DARJAH kecerdasan atau intelligence quotient (IQ) merupakan jumlah skor yang diperoleh daripada set ujian piawai atau subujian yang direka untuk menilai kecerdasan manusia.
Mempunyai skor IQ yang tinggi memberikan pelbagai manfaat, terutama dalam konteks kemampuan berfikir dan menyelesaikan masalah. Tidak semua orang dilahirkan dengan IQ tinggi, tetapi jika mahu tergolong dalam golongan pintar ia boleh diasah dengan usaha berterusan.
Sehubungan itu, negara-negara di dunia ini memperkenalkan pelbagai polisi dalam sistem pendidikan mereka untuk melahirkan generasi yang mempunyai IQ tinggi.
Berikut CitaRasa kongsikan lima negara yang penduduknya mempunyai IQ tertinggi dunia menurut laporan Times Of India.
- Jepun
JEPUN berada di tangga teratas senarai dengan purata IQ tertinggi pada 112.30. Ia merupakan kesan kepada sistem pendidikan ketat yang menekankan kepentingan kerja keras dan rasa hormat kepada guru yang diterapkan.
Pelajar dari usia yang sangat kecil digalakkan untuk mahir dalam mata pelajaran seperti Matematik dan Sains. Keluarga juga sangat menyokong usaha dan program pendidikan anak-anak serta mempromosikan budaya kejayaan serta pencapaian.
- Hungary
HUNGARY berada di kedudukan kedua dengan purata IQ 111.23. Negara ini dipercayai mempunyai legasi yang kukuh dalam penguasaan mata pelajaran Matematik dan Sains dengan ramai saintis terkenal berasal dari Hungary.
Sekolah-sekolah di sana menekankan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk menggalakkan pelajar membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah yang luar biasa.

- Taiwan
KERAJAAN Taiwan membuat pelaburan yang besar dalam bidang pendidikan termasuklah penambahbaikan sekolah dan menawarkan sumber penting untuk guru serta pelajar. Oleh itu, tidak hairanlah Taiwan tersenarai sebagai salah satu negara yang mempunyai IQ tertinggi di dunia iaitu dengan purata IQ 111.19.
Kurikulum pembelajaran mereka juga amat mencabar, terutamanya dalam teknologi dan sains yang mendorong pelajar untuk bekerja keras.
- Itali
ITALI berada di kedudukan keempat dengan purata IQ 110.83, memperoleh manfaat daripada sejarah budayanya yang sangat kaya. Sistem pendidikan memupuk kreativiti dan pemikiran kritis yang memudahkan pelajar memperoleh pemahaman yang mendalam tentang mata pelajaran.
Pembelajaran berasaskan projek adalah perkara biasa di sana yang membantu pelajar untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti dan memahami konsep yang kompleks dengan cara yang lebih baik dan lebih menarik.

- Korea Selatan
KOREA Selatan mempunyai purata IQ 110.80 dan terkenal dengan sistem pendidikan yang sangat kompetitif. Pelajar dipercayai sering menghadapi tekanan untuk mencapai markah tinggi dalam ujian.
Bukan itu sahaja, waktu persekolahan di Korea Selatan juga sangat panjang dan kelas tambahan adalah perkara biasa di negara ini.
Penekanan terhadap akademik yang dilaksanakan itu telah menghasilkan pencapaian yang tinggi dalam ujian antarabangsa dan menonjolkan keberkesanan kaedah pendidikan mereka.














