KANGAR – Pengusaha dan penjual raja mangga harumanis Perlis sama sekali tidak gentar, mahupun terganggu dengan kehadiran Mangga King dari Terengganu.
Sebaliknya, mereka tidak sabar menantikan hasil tanaman pencabar baharu dari Pantai Timur itu dituai untuk diuji rasa serta dinilai dari pelbagai sudut.
Pengusaha dan pembekal harumanis Perlis, Kamarizal Ahmad, 52, berkata, tidak adil untuk menilai mangga tersebut tanpa merasainya terlebih dahulu.
“Saya mula mengusahakan tanaman harumanis kira-kira 15 tahun lalu dan antara ciri unik buah ini ialah bau yang harum berbanding mangga lain serta rasanya yang manis.
“Dua faktor itu dipengaruhi oleh keadaan cuaca dan jenis tanah. Di kawasan saya, di bawah lapisan tanah terdapat hamparan batu lada atau lebih dikenali sebagai batu kawi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.
Katanya, faktor geografi serta perbezaan jenis tanah mempengaruhi kualiti rasa buah, malah di Perlis sendiri rasa harumanis boleh berbeza antara bahagian utara dan selatan negeri.
Menurut Kamarizal, beliau optimis kualiti mangga yang dihasilkan di Perlis lebih baik kerana pengalaman yang luas serta pembangunan berterusan terhadap tanaman itu di negeri berkenaan.
“Apa yang boleh saya katakan, isi dan warna mangga di sini kebanyakannya jingga, bertekstur halus serta tidak berserat.
“Dari segi pasaran, saya sama sekali tidak terganggu dengan kehadiran Mangga King Terengganu dan kami sebenarnya tak sabar untuk mencubanya,” ujarnya.
Ujarnya, memang wajar pembeli mencuba dahulu Mangga King dan selepas itu terpulang kepada cita rasa masing-masing.
Seorang peniaga harumanis, Aidid Iskandar Mohd Zamri, 24, berkata, terdapat juga pembeli dari Terengganu yang mendapatkan bekalan mangga harumanis daripadanya.
“Mereka beritahu rasa mangga yang ditanam di Terengganu berbeza dengan harumanis Perlis, jadi mereka tetap memilih mebeli hasil dari sini,” katanya. -KOSMO! ONLINE














