Saya mendapat jemputan untuk memancing toman di lombong Olak Lempit ini oleh saudara, Akmal Bachok yang juga dikenali di laman Facebook dengan nama sama. Akmal merupakan seorang anak muda yang mengusahakan perkhidmatan pemandu pancing dan sewa bot di lombong ini.
Lombong Olak Lempit ini di dalam Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor. Lebih tepat lagi untuk mengetahui lokasi lombong ini, ia sebenarnya terletak di sebelah Paya Indah Wetlands atau senang cerita, ia adalah perairan sama. Cuma pemancing tidak dibenarkan memancing di kawasan tersebut.
Ia merupakan sebuah lombong korek pasir dengan keluasan lebih kurang 120 ekar (48 hektar). Terdapat tiga buah lombong yang bersambung dan tiada aliran air masuk ke dalam lombong ini dari mana-mana sungai berhampiran.
Rata-rata kedalaman lombong ini adalah antara lima hingga 10 meter (m) dengan kawasan paling dalam sekitar 25m. Hampir 90 peratus kawasan tebing di lombong ini dipenuhi tumbuhan teratai dan jarak rimbunan teratai ini dari tebing ke kawasan terbuka adalah lebih kurang tiga hingga lima meter
Di sesetengah kawasan, tumbuhan teratai padat merangkumi 50 hingga 300 meter persegi. Ia merupakan lokasi blind cast (lemparan gewang secara rawak) terbaik dan paling mencabar, sekali gus menguji kemahiran para pemburu toman di lokasi heavy cover (bereba padat).

Selain toman, lombong ini turut dihuni spesies ikan-ikan lain seperti baung, tapah, keli, rohu, tengalan, patin dan tilapia. Haruan merupakan tangkapan bonus, manakala ikan peacock bass tidak wujud sama sekali di sini.
Heavy cover
Oleh kerana lombong ini dipenuhi dengan tumbuhan teratai yang melata sejauh mata memandang, ia dianggap sebagai lokasi heavy cover terbaik bagi memburu toman.
Oleh itu, set pancingan kelas medium heavy ke heavy amat disarankan dengan kekuatan joran antara 10-20lb atau PE1-2 ke atas. Kekili pula dengan kekuatan drag lima kilogram ke atas dan diisi dengan tali sulam antara 40-50lb jenis sulaman 4X kerana batang teratai yang sedikit berduri boleh membuatkan tali sulam mudah melelas jika menggunakan tali berdiameter kecil.
Perambut serap kejutan terbaik jenis fluorocarbon antara 40 hingga 50lb dengan snap swivel berkekuatan 50lb saiz 1 atau 2.
Gewang terbaik
Gewang digunakan seharusnya ideal untuk perairan berair hitam yang gelap. Warna-warna gewang yang disarankan adalah putih, pink, kuning, hijau dan oren, lagi bagus jika gewang itu berprofil pendar cahaya (glow in the dark).
Gewang selaman dalam boleh digunakan di tempat terbuka. Gewang permukaan seperti popper atau pencil pula saiz 10 ke 12 sentimeter (sm) dengan profil gemerincing (rattling) di dalam badannya.
Soft plastic pula bersaiz 10, 12 atau 14sm jenis ekor paddle atau lurus dengan warna putih, pink dan chartreuse. Bagi gewang spinnerbait pula, saiz 20-40g dengan warna terang yang lain.

Toman di lombong ini sangat aktif ketika cuaca panas terik dan kurang aktif jika cuaca hendak hujan.
Bagaimanapun, semasa hujan lebat, peluang untuk strike sangat tinggi jika menggunakan gewang buzzbait dan slashbait.
Tip daripada Akmal, disebabkan air lombong gelap, boleh tampal pelekat pendar cahaya untuk meningkatkan potensi sambaran.
Selain menjadi tekong, Akmal juga menyediakan perkhidmatan bot sewa dengan pakejnya termasuk bot 14 kaki muncung D, thruster Haibo 80lbs, cooler box bersama ais, air mineral, pendayung, sauk, kerusi dan life jacket.
Masa pancingan pula antara pukul 8 pagi sehingga ke 6 petang. Bagi saya, lombong Olak Lempit ini merupakan lokasi terbaik untuk anda menguji kemahiran memancing heavy cover di perairan dipenuhi ‘salad toman’.














