SUBANG JAYA – Selepas hampir seminggu tragedi berlalu, mangsa insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights di sini, mengakui semakin tertekan berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ini susulan terdapat pertambahan bilangan mangsa sejak kejadian berlaku pada Selasa lalu yang kini berjumlah 463 orang daripada 119 buah keluarga setakat semalam.
Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Sarah, 21, berkata, dia dan keluarganya berlindung di PPS Masjid Putra Heights sejak hari pertama kejadian tersebut.
“Pada mulanya memang selesa, tetapi setiap hari apabila ada (kemasukan) mangsa baharu, kawasan (PPS) ini menjadi semakin sempit.
“Kalau tinggal beramai-ramai untuk tempoh jangka masa panjang sudah semestinya sangat tertekan. Ibu saudara saya juga stres sehingga menyebabkan emosinya terganggu,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sarah mendakwa, keadaan padat juga mencetuskan pergaduhan melibatkan beberapa individu di PPS berkenaan.
“Bagi saya, jika dua atau tiga hari mungkin boleh diterima, tetapi kalau nak tinggal lama di sini agak sukar. Kadang-kadang masalah peribadi pun boleh jadi punca bergaduh sebab tiada privasi,” katanya.
Khadijah kamis, 49, pula berkata, meskipun reda dengan ujian yang menimpa, namun dia amat berharap penempatan sementara yang lebih kondusif dapat disegerakan untuk kesemua mangsa bencana dahsyat tersebut.
“Untuk yang bujang mungkin okey, bagi yang berkeluarga dan mempunyai anak ramai sudah tentu rasa tidak selesa. Sekiranya penempatan baharu lambat lagi, boleh tempatkan mangsa di PPS yang kosong,” katanya.
Asmah, 36, pula bercadang untuk menumpang di rumah adiknya di Cheras, Kuala Lumpur memandangkan dia memiliki tiga anak kecil.
“Jika diikutkan lebih mudah tinggal di PPS kerana maklumat dan bantuan disediakan walaupun saya akui kurang selesa,” katanya.
Pada 3 April lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu mangsa kebakaran dan letupan Putra Heights perlu tinggal seminggu lagi di dua PPS sebelum ditempatkan di penempatan sementara bagi keselesaan mereka.
Untuk itu, beliau dijadual bertemu Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) bagi bantuan fasa kedua melibatkan penempatan kepada mangsa yang terjejas.
Sementara itu, Nur Syafiqa, 34, mengakui berasa rimas tinggal di PPS, namun akur apabila mengenangkan rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru hangus.
“Rumah kami terbakar 100 peratus dan tidak selamat untuk diduduki. Kami dimaklumkan tidak boleh lagi tinggal di sana sebab keadaannya teruk. Jadi tiada pilihan (tinggal di PPS).
“Ibu dan bapa saya pula dirawat di unit rawatan rapi disebabkan kejadian letupan tersebut,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Azrul Hamdan, 33, pula kecewa kerana sudah hampir seminggu tinggal di PPS selepas rumahnya rosak.
“Saya memang kena tinggal di sini (PPS) sebab kami tidak dibenarkan pulang. Lagipun kebanyakan peralatan dalam rumah rosak, jika ada mungkin sedikit yang masih boleh digunakan.
“Rumah saya terletak kira-kira 80 meter dari lokasi letupan, jadi memang saya tidak rasa kami akan tinggal di sana lagi selepas memikirkan risiko keselamatan ahli keluarga lebih-lebih lagi anak perempuan saya,” katanya.
Tambahnya, dia tidak mempunyai pilihan memandangkan kediaman ahli keluarga termasuk ibu bapanya yang tinggal berhampiran lokasi kejadian turut hangus dijilat api.
Lelaki itu berharap penempatan sementara dapat diuruskan dengan secepat mungkin demi keselesaan mangsa-mangsa tragedi letupan tersebut. -KOSMO! ONLINE














