JOHOR BAHRU – Isu parkir bukanlah sesuatu yang baharu, malah masalah itu sudah berlarutan di sekitar kawasan sekitar Terminal Larkin Sentral, Larkin Jaya, Johor Bahru.
Masalah tempat letak kereta kini semakin teruk selepas premis perniagaan baharu di Jalan Geroda 2/1, Larkin Jaya beroperasi sepenuhnya sejak tiga tahun lalu.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Abdul Halim Mat, 42, pelanggan terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis atau di kawasan tidak dibenarkan apabila mahu berurusan di kawasan perniagaan terutamanya untuk ke klinik swasta dan kedai makan.
“Masalah parkir sudah lama tetapi keadaan semakin buruk selepas kedai-kedai kawasan perniagaan baharu di sini siap dan beroperasi sepenuhnya.
“Ramai mendakwa kawasan parkir ini telah dimonopoli mereka yang bekerja di Singapura sebab kawasan tempat letak kereta tidak dikenakan caj.
“Jadi mereka (pekerja yang bekerja di Singapura) ambil kesempatan, letak kereta percuma dan naik bas untuk pergi kerja di sana,”katanya sini.
Dalam pada itu, beberapa pekerja premis perniagaan turut merungut kerana isu parkir di kawasan itu sudah lama berlaku.
Ada pekerja yang ke kawasan itu hampir setiap hari, terpaksa memilih menggunakan perkhidmatan e-hailing parkir memang tiada.
Pekerja kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 20-an, berkata, dia akan parkir berlapis dan meninggalkan nombor telefon bagi memudahkan pemilik kereta terhalang.














