KUALA KANGSAR – Seorang lelaki hanya mengharapkan keberkatan dalam kehidupannya apabila mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang menghidap strok.
Mohamad Zahid Maula Isa Rahmat, 34, berkata, dia terpaksa berhenti kerja demi menjaga ibunya, Rohani Hanif, 72, yang tidak mampu bergerak dan bergantung kepada kerusi roda sejak lapan bulan lalu.
Katanya, sebelum ini dia berniaga dan bekerja menjaga tandas awam.
“Saya jaga ibu kerana isteri perlu uruskan dua anak kecil kami. Ketika awal ibu kena strok, saya cuba bahagikan masa, namun kerap meninggalkan tugas untuk ibu.
“Lama-kelamaan, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.
Menurut Mohamad Zahid Maula, antara tanggungjawab dilakukan ialah menyuap makan, menukar lampin dewasa ibunya serta pelbagai rutin hidup harian.
Katanya, dari segi kos hidup, keluarga itu kini bergantung kepada pencen arwah bapanya yang kini diterima oleh ibunya kira-kira RM1,500 sebulan.
“Bagaimanapun, jumlah itu tidak cukup kerana saya perlu menanggung isteri serta dua anak berusia tujuh tahun dan enam bulan,” katanya.
Ujar Mohamad Zahid, dia dan isteri turut mengambil tempahan membuat makanan seperti laksa dan mi kari serta berniaga kuih muih secara kecil-kecilan bagi menyara kehidupan.
“Kami terima banyak tempahan sepanjang Ramadan lalu. Diharapkan usaha ini dapat membuka pintu rezeki keluarga saya buat masa akan datang,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun RHB Mohamad Zahid Maula di 15818700060051 atau menghubunginya di talian 011-3784 7910.














