fbpx
SEBAHAGIAN kediaman yang rosak teruk akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

‘Nak beli rumah baharu tidak mampu, tinggal situ rasa tak selamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini meluahkan rasa gusar untuk kembali menetap di kawasan perumahan berkenaan susulan kejadian yang menimpa mereka Selasa lalu.

Rata-rata mereka yang ditemui memohon pihak bertanggungjawab memberi jaminan keselamatan selain menyediakan kediaman baharu untuk mereka yang tinggal terutama bagi rumah mangsa yang mengalami kerosakan teruk.

Seorang mangsa kebakaran, Robin Yeoh Jin Ghee, 46, berkata, menurut laporan daripada pihak bomba, kediaman yang dihuni sejak 15 tahun lalu musnah 90 peratus akibat insiden yang berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi.

“Saya tiada arah, saya tak tahu apa yang mahu dilakukan. Rumah saya dekat sangat dengan tempat kebakaran. Saya rasa ­memang tak selamat.

“Nak bina semula rumah pun tak tahu masih boleh atau tidak sebab gegaran akibat letupan itu sangat kuat.” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Dia yang menumpang sementara di rumah kakaknya melahirkan rasa bimbang mengenai masa depan kerana rumah ber­kenaan masih dalam tempoh pinjaman bank.

“Saya masih ada 15 tahun lagi untuk bayar pinjaman rumah ini. Nak beli rumah baharu memang tak mampu. Tapi kalau sewa pun, itu beban besar. Saya harap ada subsidi atau bantuan untuk kami yang hilang segalanya,” luahnya.

Seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Francis, 63, berkata, penduduk mahu penilai­an menyeluruh sebelum membuat keputusan untuk terus tinggal di kawasan berkenaan atau sebaliknya.

Malah katanya, pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diharap dapat me­lakukan pemeriksaan rapi serta pemantauan berterusan.

“Selagi belum masuk dan belum guna rumah ini, kami tak yakin untuk menghuninya semula. Kami hanya berharap semuanya okey dan boleh kembali dengan selamat.

“Kami bukan sekadar perlukan rumah kami perlukan rasa selamat untuk kembali meneruskan hidup,” katanya.

Berkongsi kerisauan sama, mangsa lain, Chan Weng Hoi, 64, memberitahu, dia kini tinggal bersama anaknya di Damansara dan tidak pasti sama ada masih boleh menetap di rumah berke­naan selepas ini.

“Rumah saya siling runtuh, tingkap pecah, elektrik tak ada dan paip air bocor. Saya takut, berani ke duduk sini lagi? Kalau berlaku lagi macam mana? Saya ada satu rumah sahaja. Kalau kerajaan kata boleh tinggal, saya ikut. Tapi hati saya tak tenang.” ujarnya.

Weng Hoi berkata, dia berharap kerajaan dapat mengemukakan penyelesaian yang lebih jelas mengenai masa depan penduduk di Putra Heights, terma­suk soal keselamatan dan bantuan perumahan.

“Jalan pun dah teruk. Kami perlukan rumah sementara. Kami perlukan kepastian… apakah rancangan seterusnya untuk kami?,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN