fbpx
Antara konsep Malaysia Madani ialah pendekatan mencapai keharmonian dalam masyarakat majmuk.

Relevansi Malaysia sebagai Negara Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Malaysia Madani adalah aspirasi untuk mengimbangi kemajuan negara dengan nilai-nilai kemanusiaan yang luhur. Secara umumnya, gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan se­mula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk memartabatkan semula strategi tatakeloka dan pentadbiran negara secara lebih efektif dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.

Malahan istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama dipopularkan suatu ketika dahulu adalah bertujuan untuk memberi keutamaan kepada misi kemanusiaan. Ini kerana, dalam proses negara mencapai tahap kemajuan, ia perlu diimbangi dengan nilai-nilai spiritual sebagai katalis kepada pelengkap acuan kemajuan negara dan ke­sejahteraan masyarakat.

Sekiranya berlaku ketidakseimbangan tersebut dibimbangi berlakunya nilai-nilai ketempa­ngan dan kepincangan se­perti salah laku serta rasuah yang boleh merosakkan negara bangsa dan meruntuhkan peradaban.

Perkataan Madani yang berasal daripada bahasa al-Quran perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab dan dengan makna yang sahih. Pemahaman yang jelas dan berobjektif adalah untuk mengelak daripada salah faham dalam memahami dan merealisasikan semangat dalam melaksanakan pendekatan negara Madani.

Pelaksanaan gagasan Malaysia Madani pada masa kini merupakan satu usaha positif yang perlu disokong oleh semua pihak pada setiap lapisan rakyat. Terkini, di bawah Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi teras negara diubah dan dibangunkan dengan pengenalan Malaysia Madani.

Secara praktikalnya, Malaysia Madani merupakan panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi. Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi me­dan dialog peradaban. Kerangka Malaysia Madani menjadi katalis kepada masyarakat yang maju dan berperadaban berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, kha­zanah dan kearifan tempatan.

Malaysia Madani bakal dilihat sebagai usaha utama penstrukturan semula pengurusan ekonomi negara mendepani cabaran mendatang, sekali gus satu lagi evolusi projek pembentukan identiti nasional kesan perubahan latar politik Malaysia.

Projek Madani sebenarnya bukanlah baharu. Ia sudah dibentuk dan dibangunkan sejak Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri (1990-1997) melalui agenda Masyarakat Madani. Bahkan, perkataan madani sudah aktif digunakan di Indonesia sebelumnya dalam mewacanakan soal pembangunan tamadun khususnya di kepulauan Melayu. Secara ringkasnya, ia digarap secara komprehensif dengan idea asas ‘Masyarakat Madani di Malaysia’ diangkat dan dimasukkan sebagai wacana dalam ruang awam.

Pemugaran semula istilah Madani memberi petunjuk bahawa pendekatan politik baharu dengan wajah Islamik berlatarkan demografi Malaysia sebagai pendekatan baharu yang bertujuan untuk mencapai objektif kesantunan dan keharmonian majmuk. Terdapat enam tema utama yang membina konsep masyarakat Madani seperti yang utarakan oleh Anwar.

Kemampanan

Mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan. Unsur lain yang berkait dengan ke­sejahteraan ialah progresif, yang mana dengan gabungan semua unsur-unsur kesejahteraan akan mewujudkan rakyat berdaya ­saing tanpa mengorbankan orang lain.

Selain itu, perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, me­rayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia.

Pengertian hormat dalam bahasa Arab yang difahami sebagai maksud maruah, adab yang me­rangkumi budi bahasa, kesopanan dan ketawadukan.

Pentafsiran maknanya boleh diperluaskan kepada efikasi hormat berlaku bila mana manusia saling mempraktikkannya. Amalan hormat-menghormati rakyat akan saling memahami antara satu dengan yang lain serta dapat mengukuhkan persaudaraan sesama mereka.

Ketiganya, elemen keyakinan dapat menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Hal ini kerana, keyakinan secara sendiri sudah dipercayai, berpotensi dibina dan berimpak untuk meyakinkan apabila dizahirkan dengan hujah dan panduan yang terbukti benar.

Ihsan

Elemen ihsan adalah merujuk kepada belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan. Pada prinsipnya ihsan diklasifikasikan kepada kepada tiga bahagian iaitu ihsan dari sudut pera­saan, ihsan dari sudut nilai dan ihsan dari sudut visi.

Dari sudut perasaan, ihsan ditakrifkan sebagai aspek untuk menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain dengan tujuan mencari jalan penyelesaian.

Dari sisi nilai pula, ihsan adalah merujuk kepada penghayatan rakyat dengan penuh kejujuran serta tekad untuk memartabatkan aspek ekonomi, sikap dan tingkah laku.

Sementara dari sudut visi, ihsan merupakan teras kepada mewujudkan warga Malaysia yang kaya dengan empati khususnya terhadap kelompok minoriti.

Tema keempat pula adalah kesejahteraan yang merujuk kepada ekonomi, sosial dan ­kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian panda­ngan. Kalimah sejahtera lazim­nya difahami sebagai kehidupan dan segala isinya terangkum dalam makna keseimbangan. Kesejahteraan juga merujuk kepada maksud kejayaan dan kebahagian yang diperoleh melalui aktiviti dan pengalaman kerohanian untuk membersihkan jiwa dalam mentaati perintah Allah.

Oleh yang demikian, ke­sejahteraan dalam tonggak masyarakat Madani boleh ditafsirkan sebagai kesejahteraan yang bersifat progresif dan menyeluruh untuk semua rakyat Malaysia. Bahkan rakyat mampu untuk mengembangkan potensi tanpa mengorbankan dan me­ngetepikan orang lain.

Dalam pada itu, pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia juga menjadi antara tema dalam konsep ini. Istilah daya cipta mengandungi beberapa maksud antaranya, pembaharuan, reka cipta dan reka baharu. Gagasan negara Madani bersifat menyeluruh berdasarkan enam tonggak utamanya iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (Daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (Ihsan). Pengenalan kepada pelaksanaan gagasan Madani adalah bertujuan untuk memerangi rasuah yang berleluasa, isu kemiskinan, gejala sosial dan kemusnahan alam sekitar.

Kerangka Madani bukanlah sesuatu yang mudah dan bersifat sehala. Maka konsep ini menekankan aspek tata kelola dalam pelaksanaan terhadap dasar sedia ada terutamanya ketika berdepan kemelut politik dan ekonomi negara sekarang ini.

Meskipun Malaysia telah lama merdeka, namun kesalahan salah laku, isu ketirisan integriti tetap berterusan. Sebagai contoh, banyak kes rasuah dilaporkan di media saban hari. Bahkan setiap hari rakyat disajikan dengan kelemahan dalam menangani isu sosial dan menangani persoalan kemiskinan baik di luar atau di bandar. Realitinya, masalah yang dihadapi bukanlah disebabkan kelemahan dasar, namun cende­rung kepada tata kelola, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.

Berdasarkan kepada senario semasa yang berlaku, maka sudah pastilah pihak kerajaan mengambil pendekatan dengan memper­kenalkan projek Malaysia Madani yang menekankan kepada aspek tata kelola terhadap dasar yang sedia ada diharapkan dapat memperbaiki masalah yang berlanjutan dan memberi imej yang positif khususnya kepada pihak pemerintah dan rakyat.

Malah cabaran lain yang wujud adalah untuk menjadikan Malaysia Madani sebagai naratif nasional bagi membina konsensus baharu yang diterima oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Dalam salah satu cabaran pembangunan agenda Madani iaitu memerangi Islamofobia,

Oleh yang demikian, sekiranya konsep Malaysia Madani dapat dipraktik dan direalisasikan dengan penuh tanggungjawab, maka rakyat dapat melihat kematangan politik negara berada dalam keadaan stabil. Rakyat akan berkeyakinan dan memberi sokongan yang padu terhadap dasar baharu pihak kerajaan.

Prof. Madya Dr Shuhairimi Abdullah ialah Ketua Jabatan Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi Universiti Malaysia Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN